Seminar kupas isu kehakiman syariah

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan Mahkamah Rayuan Syariah

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Mahkamah-mahkamah syariah, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Perdana Menteri, hari ini, telah menyertai Seminar Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita Nusantara yang berlangsung secara dalam talian.

Seminar sehari anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu membawa tema ‘Wanita: Isu-isu Semasa Perundangan dan Kehakiman Syariah’.

Ketua Hakim Syar’ie, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dengan pegawai-pegawai kanan Mahkamah Syariah menghadiri seminar berkenaan di Bilik Persidangan Utama, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah, Dayang Kartini binti Haji Abdullah mewakili Negara Brunei Darussalam sebagai peserta dan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Peranan dan Cabaran Pegawai Perundangan dan Kehakiman Syariah Wanita di Dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Berdasarkan Pengalaman di Negara-negara Serantau’.

Antara perkara yang dikongsikan dalam kertas kerja tersebut adalah mengenai pencapaian kaum wanita dalam bidang kehakiman di Negara Brunei Darussalam dan cabaran dari aspek prospek kerjaya dan beberapa kekangan undang-undang yang melibatkan wanita.

Yang Berhormat/Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim menghadiri seminar berkenaan di Bilik Persidangan Utama, Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah.

Pada seminar itu, wakil dari Malaysia, Maldives dan Indonesia turut membentangkan kertas kerja daripada perspektif negara masing-masing dan peserta seminar terdiri daripada pegawai syariah wanita dari seluruh Malaysia dan beberapa buah negara jemputan.

Seminar berkenaan dirasmikan oleh Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syar’ie JKSM, Yang Amat Arif Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.

Antara objektif seminar tersebut adalah bagi mengupas isu-isu semasa melibatkan hal ehwal perundangan dan kehakiman terutamanya melibatkan wanita dan anak-anak, menilai kembali undang-undang, peraturan dan kaedah yang diaplikasikan bagi isu-isu tertentu.

Di samping itu, ia memberi peluang kepada pegawai wanita untuk meneroka peranan dan berkongsi cabaran sepanjang keterlibatan dalam bidang perundangan dan kehakiman syariah serta meneliti prospek kerjaya pegawai wanita dalam bidang berkenaan.