Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Seminar promosi pemerkasaan wanita

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Kesaksamaan wanita merupakan hak asasi manusia dan komponen kritikal pembangunan mampan, dan apabila wanita diperkasa, mereka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan keluarga, komuniti dan negara.

    Mereka juga menjadi ejen perubahan, memacu pertumbuhan ekonomi, perkembangan sosial serta kestabilan politik, jelas Penyelaras Utama, European Union-Brunei Darussalam Facility, Dayang Khairunnisa Ash’ari dalam kata alu-aluannya semasa Seminar Pertukaran dan Pendekatan Dasar bagi Kesaksamaan Jantina dan Pemerkasaan Wanita yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Indonesia dan Negara Brunei Darussalam yang dilantik, Tuan Yang Terutama Vincent Piket; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Reganauld-Fabre; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Jerman ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Gerda Winkler, jemputan khas daripada Kor Diplomatik, moderator dan penceramah serta jemputan khas.

    Dayang Khairunnisa dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa seminar itu mengetengahkan panel pakar yang akan berkongsi pengalaman, pandangan dan amalan terbaik bagaimana kita boleh mempromosi kesaksamaan jantina dan memperkasa wanita di Brunei dengan perkongsian dari Indonesia serta EU.

    Beliau turut menyatakan bahawa seminar juga akan mengetengahkan pemimpin wanita yang telah berjaya memecahkan halangan serta membuat sumbangan yang signifikan kepada masyarakat.

    Hajah Nor Ashikin semasa menghadiri seminar tersebut yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Melalui seminar itu, tambahnya, adalah diharapkan akan meningkatkan kesedaran dan menginspirasikan tindakan ke arah mencapai kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita di Brunei.

    “Kami percaya dengan bekerjasama, kita boleh menjana sebuah masyarakat yang lebih saksama dan inklusif di mana semua orang mempunyai peluang untuk mencapai potensi penuh mereka,” ujarnya.

    Dalam ucaptama bertajuk Enhancing Gender Equality in the Brunei-EU Partnership, TYT Vincent Piket menekankan bahawa kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita adalah amat penting kepada perkembangan dan pembangunan EU dan Brunei.

    Kesaksamaan jantina, tambahnya, merupakan satu hak asasi manusia di mana ia memberikan peluang yang sama untuk dinikmati oleh wanita dan lelaki termasuk peluang, sumber, barangan dan ia juga memberikan ganjaran kepada penyertaan bersama dalam masyarakat untuk semua.

    Dalam hubungan itu, beliau amat menghargai penyertaan wanita Brunei daripada pelbagai latar belakang dalam seminar itu di mana ia akan menyentuh mengenai bagaimana kita boleh bekerjasama untuk menyokong usaha mempromosi kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita di Brunei.

    Beliau yakin menerusi kerjasama dengan kerajaan, persatuan awam dan perniagaan, EU dan Brunei juga akan dapat bekerjasama memberikan sumbangan kepada perkembangan dalam usaha mencapai matlamat kesaksamaan jantina dan pemerkasaan wanita.

    Seminar itu menyaksikan dua panel perbincangan yang mengetengahkan ahli-ahli panel dari Brunei, Indonesia dan delegasi EU di Jakarta di mana mereka meneroka pelbagai topik daripada pengarusutamaan jantina dalam penggubalan dasar kepada meningkatkan penyertaan wanita di kesemua sektor dalam masyarakat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...