Seminar sempena ulang tahun penubuhan AMBD ke-10

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Autoriti Monetori Brunei Darussalam (AMBD) harus lebih dinamik dan mengukuhkan peraturan dan paiwaian yang berhemah serta memastikan dasar-dasar AMBD adalah sesuai dan mengikut perubahan persekitaran sebagai persediaan untuk masa hadapan.

Ini bukan sahaja akan dapat mendatangkan kebaikan kepada ekonomi, malahan juga kepada warga Negara Brunei Darussalam secara menyeluruh.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucapannya pada Seminar sempena Menyambut Ulang Tahun Penubuhan AMBD ke-10 di Hotel Antarabangsa Rizqun, hari ini. Seminar tersebut diadakan untuk meraikan ulang tahun penubuhan AMBD ke-10 serta pencapaian-pencapaian yang telah diraih sejak dekad pertama penubuhannya.

Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan dari agensi-agensi kerajaan dan AMBD serta orang awam yang telah dijemput. Pada majlis berkenaan, Pengarah Urusan AMBD, Hajah Rokiah binti Haji Badar menekankan peranan AMBD sebagai bank pusat Negara Brunei Darussalam yang kian meluas dan semakin kompleks sejak penubuhannya pada 1 Januari 2011 disebabkan landskap kewangan yang pesat berkembang.

Para jemputan juga menyaksikan dan mendengarkan ucaptama oleh mantan Timbalan Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas, Republik Filipina, Dr Diwa Guinigundo yang memperkenalkan konsep grey rhinos iaitu isu-isu besar yang sering kali diabaikan oleh penggubal dasar contoh pandemik COVID-19, persekitaran kadar faedah yang sangat rendah dan perkembangan FinTech.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa menghadiri Seminar sempena Menyambut Ulang Tahun Penubuhan AMBD ke-10 di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, kelmarin.
Antara yang hadir pada seminar tersebut.

Seminar tersebut diikuti dengan pembentangan bertajuk AMBD: Our Objectives, Growth and Future yang telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan, Perkembangan Korporat, AMBD, Hajah Sufinah binti Haji Sahat. Ini dikuti dengan sesi panel pertama yang bertemakan Maintaining Efficient Payment Systems and Monetary Stability yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Urusan Operasi Monetari dan Perkembangan dan Antarabangsa, Hajah Noorafidah binti Haji Sulaiman.

Sesi panel seterusnya yang bertemakan Safeguarding Financial Stability, telah diketuai oleh Timbalan Pengarah Urusan, Regulatori dan Penyeliaan, Hajah Rashidah binti Haji Sabtu manakala sesi panel yang terakhir bertemakan Developing the Financial Sector diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan, Operasi Monetari dan Perkembangan dan Antarabangsa AMBD, Awang Mardini bin Haji Eddle.

Perbincangan bagi setiap sesi turut disertai oleh pihak pengurusan dan pegawai-pegawai AMBD sebagai ahi-ahli panel. Video ucapan-ucapan tahniah bagi AMBD daripada mantan-mantan pengarah urusan AMBD iaitu Dato Paduka Haji Mohd Rosli bin Haji Sabtu dan Awang Yusof bin Abdul Rahmar serta gabenor-gabenor dari rantau ini termasuk Chea Chanto dari National Bank of Cambodia; Perry Warjiyo dari Bank Indonesia; Sonexay Sitphaxay dari Bank of The Laos; Datuk Nior Shamsiah binti Mohd Yunus dari Bank Negara Malaysia; Than Nyein dari Central Bank of Myanmar; Benjamin E Diokno dari Bangko Sentral ng Plipinas; Ravi Menon dari Monetary Authority of Singapore; Sethaput Suthiwartnarueput dari Bank of Thailand dan Nguyen Thi Hong dari State Bank of Vietnam turut ditayangkan.