Saturday, June 10, 2023
22.6 C
Brunei

    -

    Seminar tingkatkan fahaman Asas perundangan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Untuk meningkatkan pemahaman dan pengetahuan warga perkhidmatan awam mengenai asas perundangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengadakan Seminar Perundangan Kedua yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini, secara maya.

    Menurut kenyataan JPM, seminar tersebut dikendalikan bersama oleh Bahagian Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-undang, JPM dan Pejabat Peguam Negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pembukaan seminar berkenaan ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Di-Raja Dato Laila Utama Haji Awang Isa; setia-usaha tetap-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di JPM; peguam cara negara dan pegawai-pegawai dari kementerian-kementerian dan agensi kerajaan selaku peserta.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dalam ucapan khasnya antara lain menjelaskan bahawa seminar berkenaan adalah sebagai kesinambungan bagi Seminar Perundangan Pertama yang telah diadakan pada 19 November 2020, yang telah mendapat sambutan sangat positif daripada kalangan peserta-peserta warga perkhidmatan awam.

    Seminar kali kedua ini telah menunjukkan bahawa adanya kesedaran daripada setiap kementerian bagi memastikan pegawai-pegawai kerajaan sentiasa meningkatkan kefahaman mereka terhadap topik-topik perundangan yang berkait rapat dengan pelaksanaan tugas-tugas harian.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa undang-undang boleh menjadi satu perkara yang kompleks dan mencabar, oleh yang demikian dengan adanya seminar berkenaan dan dukungan pihak Pejabat Peguam Negara, ia diharapkan dapat membantu dalam merapatkan jurang kefahaman dan memberikan pengetahuan serta pemahaman asas dalam hal ehwal perundangan.

    Beliau turut menekankan bahawa tidak memadai bagi warga perkhidmatan awam sekadar tahu bidang tanggungjawab kerja seharian, malahan mereka juga perlu celik undang-undang agar tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan akan dijalankan dengan teliti dengan mempertimbangkan mana-mana legal implication ke atas keputusan yang dibuat.

    Menurut kenyataan, topik-topik perundangan yang dibentangkan adalah seperti penyediaan rang undang-undang; kontrak, kutipan hutang kerajaan (recovery of government debt), salah laku pegawai kerajaan dan juga undang-undang antarabangsa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Korea S sasar hubungan sihat dengan China

    SEOUL, 9 JUN - Penasihat keselamatan Korea Selatan, hari ini berkata negara itu berhasrat untuk mewujudkan hubungan sihat dengan China yang menekankan amalan saling...
    - Advertisment -