Sempadan udara mungkin dibuka fasa endemik

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Negara Brunei Darussalam kemungkinan besar hanya akan membukakan sempadan udara terlebih dahulu semasa memasuki fasa endemik tetapi tidak untuk sempadan darat.

Pada masa peralihan, sempadan udara belum lagi dibuka, namun ia akan dipertimbangkan apabila beralih ke fasa endemik, kongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) semasa memberi respons terhadap persoalan mengenai sempadan pada sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, jika sempadan udara sudah dibukakan, beberapa peraturan akan ditetapkan dan perkara ini akan dikongsikan oleh jawatankuasa pandu COVID-19 kelak apabila tiba masanya.

Menurutnya, apabila sempadan dibukakan, penumpang perlu dilengkapi dengan dokumen yang diperlukan, borang pengisytiharan yang dipohon secara dalam atas talian dan sebagainya sebelum masuk ke negara ini.

Bagi rangka masa pembukaan semula sempadan udara bagi perjalanan tidak penting, beliau menjelaskan, data semasa fasa peralihan akan dipantau dan jika data tersebut membimbangkan, ia akan dipertimbangkan lagi.