SUNGAI PETANI, 18 SEPT – Tiga sekeluarga yang maut dalam kebakaran melibatkan lapan unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda di sini awal pagi tadi sempat makan malam bersama keluarga di Bertam, Pulau Pinang sebelum tragedi itu.
Saudara mangsa, Linda Yee, 48, berkata kebiasaannya sepupunya, Lee Chew Fong, 61, bersama suaminya, Lim Yang Kooi, 66, dan ibu mereka Yong Swee Lan, 92, akan bermalam di rumah mereka di Bertam, tetapi kali ini datang awal ke premis tersebut selepas makan malam.
Linda berkata difahamkan mereka datang awal ke premis itu untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan membuat persiapan berniaga di pasar pagi di situ.
“Keluarga sepupu saya ini tinggal di Bertam selepas membeli rumah di sana sejak setahun lepas, mereka hanya pulang ke rumah kedai itu untuk berniaga pakaian dan kelengkapan lain…ibu saudara saya pula sudah uzur dan bergerak menggunakan tongkat.
“Mereka kelihatan gembira ketika makan bersama anggota keluarga yang lain. Saya terima berita dalam pukul 6 pagi ini ada kebakaran di pekan Kota Kuala Muda…saya agak mungkin keluarga sendiri dan bila saya tengok alamat saya dah tahu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Media hari ini melaporkan tiga rentung terlibat dalam kebakaran itu dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Awang Hidzel Awang Bujang mengesahkan bahawa mayat pertama ditemukan pada 3:19 pagi, manakala mayat kedua dijumpai pada 6 pagi dan bomba menemukan mayat ketiga pada 10:15 pagi. – Bernama
