Semporna destinasi maritim Negeri Sabah

Oleh Asmah Ali

SEMPORNA – Langkah kerajaan Malaysia menggalakkan pelancongan domestik ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagaikan menyambung ‘talian hayat’ untuk pemain industri pelancongan di Sabah untuk kembali ‘bernafas’ dan menjalankan aktiviti seperti biasa tetapi dalam kebiasaan baharu.

Bagi menyahut saranan kerajaan, Persatuan Pelancongan Sabah (STA) bersama Tourism Malaysia (TM) Sabah serta MASwings baru-baru ini menganjurkan Program Lawatan Suai Kenal ke Semporna selama empat hari, tiga malam membawa 28 peserta termasuk ahli media, untuk merasai pengalaman bercuti ke pulau-pulau peranginan di daerah ini dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

Penulis yang mengikuti program ini berpeluang menjejaki destinasi pelancongan popular di Semporna antaranya Pulau Kapalai, Mabul dan Taman Marin Tun Sakaran yang meliputi Pulau Bohey Dulang, Mantabuan serta Sibuan yang sering menjadi tumpuan pelancong setiap kali ke daerah ini.

Penulis berkongsi mengenai program ini, di mana pada hari pertama program, mereka menaiki bot dari pekan Semporna ke Pulau Mabul dan tiba 45 minit kemudian di tempat penginapan iaitu Seahorse Sipadan Scuba Lodge dengan disambut pemiliknya Madzafar Madzahla serta Pengerusi Persatuan Pengusaha Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna, Kerino Jalani.

Rombongan kemudian diberi taklimat mengenai chalet-chalet sekitar Pulau Mabul dan selepas itu peserta melakukan aktiviti bebas dan penulis tidak melepaskan peluang merakamkan detik-detik matahari terbenam di Pulau Mabul.

Pemandangan indah dari atas puncak Pulau Bohey Dulang Semporna.– Bernama
Keindahan reka bentuk Sipadan-Kapalai Dive Resort ditambah dengan keindahan tumbuh-tumbuhan yang dijaga rapi, air laut yang berwarna hijau kebiru-biruan dengan pelbagai spesies hidupan marin pasti mengujakan setiap pengunjung. – Bernama
Di Pulau Mabul pelbagai aktiviti yang ditawarkan seperti melakukan aktiviti skuba, snorkel serta berkayak. – Agensi

Tarikan di Taman Marin Tun Sakaran

Hari kedua lawatan, penulis menceritakan mereka dibawa menjejaki Taman Marin Tun Sakaran dan destinasi pertama ditujui di taman itu ialah Pulau Bohey Dulang.

Penulis menyatakan bahawa ini bukan kali pertama dia pergi ke Bohey Dulang, tetapi setiap kali ke pulau itu perasaan akan begitu mengujakan kerana terbayang-bayang akan pemandangan yang memukau mata ketika berada di puncak bukit Bohey Dulang, selepas pendakian 700 meter ke titik tertinggi pulau itu.

Sepanjang pendakian ke puncak kira-kira 45 minit, penulis mengatakan dia lebih suka mendaki secara santai sambil menikmati pemandangan hutan tropika pulau itu yang kaya dengan khazanah flora dan fauna termasuk spesies burung tropika eksotik.

Setibanya di puncak bukit, rasa penat terbalas setelah melihat damparan pemandangan laut yang membiru kehijauan, tiada kata-kata dapat menggambarkan keindahan yang disaksikan dari puncak Bohey Dulang, dan tanpa berlengah penulis merakamkan beberapa keping gambar termasuk berswafoto sebagai mengabadikan pengalaman indah di pulau itu.

Menurut Ranjer Taman Taman Sabah, Suryan Azizi, Bohey Dulang antara lapan pulau dalam Taman Marin Tun Sakaran yang wajib dikunjungi pelancong selain Pulau Mantabuan dan Sibuan.

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, 28,562 pelancong domestik dan antarabangsa berkunjung ke Pulau Bohey Dulang,” katanya.

Sewaktu di Taman Marin Tun Sakaran, rombongan turut dibawa ke Pulau Sibuan yang terkenal dengan air laut yang biru serta pasirnya yang putih, selain ke Pulau Mantabuan untuk aktiviti snorkeling.

Taman Marin Tun Sakaran diwartakan pada 22 Julai 2004 dengan keluasan 35,000 hektar dan meliputi lapan pulau iaitu Pulau Bohey Dulang, Pulau Mantabuan, Pulau Sibuan, Pulau Bodgaya, Selakan, Tetagan, Maiga serta Sebangkat dengan kawasan taman itu dikelilingi terumbu karang dikenali sebagai Church Reef dan Kapikan Reef.

Warna-warni dasar laut Pulau Mabul

Penulis menyatakan selepas seharian aktiviti di Taman Marin Tun Sakaran, mereka kembali semula ke Pulau Mabul dan pada hari itu rombongan lawatan menginap di Borneo Divers Mabul Resort.

Di Pulau Mabul, kami diberi kesempatan untuk melakukan aktiviti skuba, snorkeling serta berkayak.

Penulis berkongsi bahawa dia mengambil kesempatan melakukan snorkeling dan aktiviti itu sangat menyeronokkan selain berpuas hati kerana dapat melihat warna-warni batu karang dan pelbagai jenis ikan dari permukaan laut biru jernih.

Di dasar laut Pulau Mabul, terdapat pelbagai spesies ikan, penyu dan terumbu karang yang cantik serta aneka hidupan marin lain yang indah termasuk kuda laut, tapak sulaiman eksotik, ikan gobi ‘Fire’, ikan buaya, ikan ‘Pipe’ dan belut laut.

Di Mabul juga terdapat banyak tapak selaman antaranya Seaventure, Lobster wall, Panglima Reef dan Garden Eel. Pulau Mabul yang dikelilingi pantai berpasir, didiami 2,000 penduduk kampung terdiri daripada etnik Bajau dan Suluk beragama Islam.

Menurut Madzafar, sambutan pelancong domestik ke Pulau Mabul memberangsangkan dan setakat Ogos dianggarkan lebih 60 tempahan dalam talian diterima untuk ke pulau itu.

Destinasi pilihan bulan madu

Destinasi terakhir penulis dan rombongan yang lain ialah ke Pulau Kapalai, dan hari itu pertama kali penulis menjejakkan kaki ke pulau peranginan dan menginap di resort eksklusif iaitu Sipadan-Kapalai Dive Resort.

Kalau dengar orang sebut Pulau Kapalai sebenarnya ia merujuk kepada resort eksklusif ini yang dibina di tebing pasir cetek di Terumbu Karang Ligitan.

Apabila berpeluang ke Pulau Kapalai, bagi penulis ia umpama mimpi jadi kenyataan kerana di kawasan itu tidak hanya terhad dapat berjalan atas papan kayu tetapi juga tersedia pulau buatan yang cukup cantik.

Bagi penulis, dengan air jernih dan pemandangan saujana membiru, berjalan di gigi air sudah cukup dapat menenangkan fikiran, apatah lagi, menikmati suasana matahari terbenam dengan angin laut sepoi-sepoi bahasa terasa cukup sempurna bercuti ke Pulau Kapalai.

Menurut penulis lagi bahawa kalau datang atas tujuan berbulan madu, ia adalah satu kawasan yang memang cukup sempurna untuk candle light dinner, romantik!

Kapalai juga dikenali sebagai kawasan destinasi menyelam unik dengan dikelilingi terumbu karang besar serta kepelbagaian khazanah marin termasuk penyu, jerung, belut, ikan pari, sotong dan ‘nudibranch’

Selain itu, kedudukan Kapalai adalah berdekatan dengan tempat menyelam di Pulau Sipadan dan Pulau Mabul masing-masing perjalanan mengambil masa 15 minit dan 10 minit.

Tingkat pelancong domestik ke Semporna

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Semporna, Jamilah Ang Kher Lern berharap kerajaan dapat meneliti berhubung harga tiket penerbangan ke Sabah yang tinggi dan dilihat tidak mampu merangsang industri pelancongan negeri khususnya ke Semporna.

“Sehingga kini, jumlah kedatangan pelancong domestik (ke Semporna) masih rendah dan kebanyakan pelancong ini adalah dalam Sabah sendiri, ini disebabkan harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau agak tinggi,” katanya.

Beliau juga berharap pembukaan semula sempadan negeri kepada pelancong asing dari negara zon hijau akan diteruskan pada 1 September ini demi kelangsungan ekonomi negeri dan pemain industri pelancongan. – Bernama