SEMPORNA, 24 Mac – Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran mahu menjadikan Semporna sebagai pusat pengembangan ilmu bagi masyarakat Bajau Sama daerah ini.
Katanya, perkara itu dapat direalisasikan sekiranya lebih banyak penganjuran berbentuk ilmiah atau persidangan mengenai masyarakat Bajau dilaksanakan termasuk Program Persidangan Antarabangsa Diaspora Bajau Sama dan Kebudayaan Maritim Asia Tenggara di Semporna.
“Persidangan ini bukan sahaja mengumpulkan penyelidik dalam kebudayaan Bajau Sama dari seluruh dunia untuk membentangkan penemuan akademik masing-masing tetapi menyediakan satu ruang dialog dengan masyarakat Bajau Sama di Semporna untuk membincangkan termasuk penghijrahan, politik, amalan ritual, persembahan muzik dan tarian,” katanya ketika merasmikan pelancaran Buku Monograf Muzium Sabah kali ke-13 mengenai Perspektif Diaspora Bajau-Sama bersempena Program Persidangan Antarabangsa Kedua Diaspora Bajau Sama dan Kebudayaan Maritim Asia Tenggara di Muzium Tun Sakaran di sini, hari ini. – Bernama