Semua aktiviti bola sepak ditunda – FABD

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan baru-baru ini mengenai sekatan COVID-19, Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD) ingin mengumumkan penangguhan semua aktiviti bola sepak dan futsal sehingga satu tarikh yang akan diumumkan nanti.

Ia termasuk kejohanan Liga Super Brunei 2021, Liga Brunei B18 2021, Liga Brunei B15 2021, Liga Futsal Brunei dan semua liga yang dianjurkan di bawah persatuan bola sepak daerah.

Di samping itu, semua kursus yang sedang berlangsung dan akan datang yang berkaitan dengan bola sepak dan futsal juga akan ditangguhkan buat masa ini. Ini sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk membendung penularan kes COVID-19.

Pada sidang media baru-baru ini juga mengumumkan bahawa semua kemudahan sukan termasuk tempat yang digunakan untuk aktiviti bola sepak dan futsal juga akan ditutup.

FABD ingin menasihati semua orang agar menghindari tempat perkumpulan ramai dan memakai penutup mulut dan hidung seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.