Semua ketibaan AS perlu keputusan ujian negatif virus

WASHINGTON, 13 JAN – Mulai 26 Januari, semua penumpang antarabangsa yang melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) perlu mengemukakan keputusan ujian negatif COVID-19, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) semalam.

“Memandangkan AS berada dalam status lonjakan kes, syarat ujian untuk penumpang udara akan membantu memperlahankan penularan virus ketika kami berusaha untuk memberi vaksin kepada rakyat Amerika,” memetik kenyataan CDC lapor Agensi Anadolu.

Menurut kenyataan itu, penumpang perlu menjalani ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum penerbangan dan menyerahkan salinan dokumen hasil ujian kepada syarikat penerbangan atau pengesahan sudah pulih daripada virus itu.

“Ujian tidak menghilangkan semua risiko. Tetapi bila digabungkan dengan masa tinggal di rumah dan langkah berjaga-jaga setiap hari seperti memakai penutup mulut dan hidung dan penjarakan sosial, ini dapat menjadikan perjalanan lebih aman dan selamat serta mengurangkan penularan di dalam pesawat, lapangan terbang dan destinasi dituju,” kata Pengarah CDC Robert Redfield.

Semalam, AS merekodkan lebih 22.7 juta kes COVID-19 dan hampir 380,000 kematian, menurut laporan Universiti John Hopkins. – Bernama