Semua kontak kes tamat jalani kuarantin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Negara Brunei Darussalam hari ini terus mencatatkan sifar jangkitan baharu COVID-19, di mana jumlah keseluruhan kes di negara ini kekal seramai 141 orang.

Sementara itu, semua kontak kes yang telah menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 telah pun menamatkan tempoh kuarantin di mana jumlah keseluruhannya ialah seramai 2,679 orang. Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Pada masa yang sama, tidak ada kes sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kekal seramai 136 orang dan jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini masih empat kes, di mana dua daripadanya dalam keadaan kritikal.

Walau bagaimanapun, hanya seorang sahaja yang masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan, manakala seorang lagi kini hanya memerlukan bantuan mesin pernafasan sahaja serta selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 292 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 18,010 ujian.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, BruHealth atau healthinfo.gov.bn.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri Pendidikan ketika hadir pada sidang media berkenaan, kelmarin. – Gambar oleh Syahmi Hassan