Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) memaklumkan bahawa penutupan sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara adalah dilanjutkan lagi selama satu minggu mulai 31 Mac sehingga 6 April nanti.
Perkara berkenaan diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.
Penutupan masjid, surau, balai ibadat berkenaan adalah hasil daripada persidangan yang menilai perkembangan penularan wabak COVID-19 di negara ini dalam usaha bagi mengekang penularan wabak COVID-19 daripada terus berleluasa penularannya sepertimana nasihat Kementerian Kesihatan dan Fatwa Mufti Kerajaan bilangan 02/2020 mengenai kewajipan menghindari daripada bahaya.
Sebelum tamat tempoh penutupan ini, tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, MUIB akan menilai lagi perkembangan sekitar penularan wabak ini di negara ini, di mana ketika ini langkah-langkah pembersihan seluruh masjid, surau dan balai ibadat secara semburan nyahkuman telah pun selesai dilaksanakan.
Sementara langkah untuk menjaga kebersihan masjid secara berterusan akan dilaksanakan berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan bagi membolehkan masjid digunakan dengan selamat seperti biasa setelah dibuka nanti. Walau bagaimanapun penggunaan semula masjid-masjid adalah masih tertakluk kepada keadaan wabak COVID-19 dan perkembangannya di negara ini, jelasnya lagi.


“Berhubung kegiatan keagamaan pada malam Nisfu Syaaban pada setiap tahun, di mana pada tahun ini malam Nisfu Syaaban adalah jatuh pada hari Rabu, 15 Syaaban 1441 Hijrah bersamaan 8 April, yang mana mengikut tarikh tersebut perkara ini tidak termasuk dalam tempoh penutupan sementara masjid pada masa ini, tetapi Insya Allah perkara ini akan dimaklumkan mengenainya selepas penilaian perkembangan wabak COVID-19 yang akan datang nanti,” tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama lagi.
Sementara masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat ditutup, KHEU dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei akan menyiarkan rancangan- rancangan keagamaan di radio dan televisyen pada waktu tengah hari Jumaat dengan pengisiannya bacaan-bacaan zikir dan tazkirah.
Dalam hubungan itu juga, KHEU ingin mengulangi seruan kepada orang ramai agar dapat menggunakan peluang pada masa ini untuk terus meningkatkan amal ibadat dan kebajikan bersama keluarga di rumah masing-masing.
“Dalam keadaan kehidupan seharian kita terjejas pada masa ini akibat wabak COVID-19, kita hendaklah terus mematuhi arahan-arahan daripada pihak-pihak berkuasa terutama sekali Kementerian Kesihatan sambil meningkatkan amal ibadat dan kebajikan serta beristighfar dengan berdoa memohon ke hadrat Allah SWT untuk melimpahkan rahmat dan balas kasihanNya bagi melindungi kita sekalian daripada bala bencana khasnya dalam keadaan sekarang ini,” tambahnya.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga menggesa penduduk di negara ini agar sentiasa muhasabah diri serta menerima apa jua musibah dan bencana sebagai ujian daripada Allah SWT, di mana ujian ini adalah untuk melihat sejauh mana ikhtiar manusia dan usaha mereka untuk mengatasinya.
Sementara itu, dalam sesi soal jawab, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga berharap krisis COVID-19 ini akan beransur pulih sebelum bulan Ramadan, akan tetapi jika ia berlarutan hingga ke bulan Ramadan, maka aktiviti-aktiviti yang lazimnya seperti Solat Sunat Terawih dan tadarus akan ditiadakan. Bagaimanapun ia adalah tergantung dengan situasi perkembangan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
Menyentuh mengenai persiapan menunaikan haji pula, kerajaan Brunei Darussalam melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Arab Saudi, di mana pembayaran awal bagi bakal-bakal jemaah haji yang perlu dilunaskan sebelum menunaikan haji adalah ditangguhkan atas arahan Kerajaan Arab Saudi.