Semua sumbangan diagih ke pusat-pusat pengasingan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Apa juga sumbangan yang diberikan ke Pusat Sumbangan COVID-19 di Kompleks Sukan Menglait akan diagihkan kepada pusat-pusat pengasingan di negara ini termasuk untuk pesakit dan petugas barisan hadapan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato berkata, ramai penduduk di negara ini bermurah hati dan tampil ke hadapan untuk menyumbangkan bantuan daripada wang ringgit hinggalah ke barangan keperluan seharian untuk pesakit.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan me-reka boleh menghubungi Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan (MOHEOC) pada waktu bekerja saja.

Beliau berkata, penderma melalui MOHEOC akan diberikan slot untuk penghantaran barang-barang tersebut di Pusat Sumbangan COVID-19.

Menurut Yang Berhormat Dato, setiap pusat pengasingan akan memaklumkan keperluan yang dikehendaki dan pihak MOHEOC akan menyenaraikan apa yang ada di pusat sumbangan
tersebut.

“Penderma juga tidak digalakkan untuk meminta gambar barangan yang disumbangkan ketika diserahkan kepada penerima terutama pesakit,” jelasnya.

Ini kerana ia boleh memberi risiko kepada para sukarelawan, tambahnya, selain sukarelawan terpaksa menggunakan alat pelindungan diri (PPE) hanya untuk menunjukkan bahawa sumbangan mereka sampai kepada pesakit.

Townview Sdn Bhd antara yang menghulurkan sumbangan kepada Kementerian Kesihatan pada 2 September lalu. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan