Semua warga KHEU wajib terima vaksin

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Dalam mendukung Program Vaksinasi Kebangsaan (PVK), kesemua tenaga pengajar, pekerja-pekerja persekolahan lain (Non-teaching Staff) petugas dan penjaga di sekolah-sekolah yang juga meliputi sekolah-sekolah agama dan Arab serta institut tahfiz dan pengajian tinggi di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) adalah dikehendaki mendapatkan vaksin secara mandatori.

Perkara telah ditegaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin telah mengongsikan angka terkini guru yang sudah divaksin setakat hari ini, iaitu seramai 2,781 orang guru telah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 iaitu 78.96 peratus; seramai 709 orang guru telah mendapatkan satu dos vaksin (20.13 peratus) dan 32 orang daripada kalangan guru-guru belum menerima vaksin.

Dengan jumlah tersebut, 99.09 peratus daripada kalangan guru-guru, iaitu 3,490 orang, sekurang-kurangnya telah mendapat satu dos vaksin COVID-19.

“Dalam pelaksanaan PVK bagi remaja berumur 12 hingga 17 Tahun, jumlah pelajar sekolah Arab dan institut tahfiz yang telah diizinkan oleh ibu bapa dan penjaganya untuk diberikan suntikan vaksin adalah seramai 4,397 (96 peratus) daripada jumlah keseluruhan 4,590 orang pelajar yang berumur dalam lingkungan tersebut,” menurut Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.

“Alhamdulillah setakat tiga hari program tersebut dilaksanakan seramai 559 (12.71 peratus) orang pelajar telah diberikan vaksin. 64 orang pada hari pertama dan 466 orang pada hari kedua dan 29 orang pada hari ketiga,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Sebagai perkongsian maklumat, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama turut mengongsikan jumlah warga KHEU pada masa ini iaitu seramai 6,125 orang dan jumlah yang telah menerima suntikan vaksin.

Kira-kira 4,871 orang (80 peratus) telah menerima dua dos lengkap, 1,193 orang (19 peratus) telah menerima satu dos; seramai 58 orang (1 peratus) belum menerima vaksin; dan seramai 6,064 orang (99 peratus) sekurang-kurang telah menerima satu dos vaksin COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama semasa berkongsi mengenai program vaksinasi pada sidang media kelmarin.