Senaman merangkak popular di China

BEIJING, 21 NOV – Lazimnya, untuk bersenam kita akan berlari, berjalan atau ke gim, namun di bandar Zhengzhou, di Henan, wilayah timur China, senaman gaya baharu iaitu merangkak mula popular dalam kalangan penduduk bandar itu.

Daily Mail Online melaporkan, senaman itu menyaksikan pengamalnya merangkak di sekitar taman rekreasi dengan hanya menggunakan tangan dan kaki. Kebanyakannya menggunakan sarung tangan untuk memastikan tangan mereka bersih sepanjang senaman.

Penduduk yang mengamalkan senaman itu, menyatakan ia mampu melegakan sakit belakang dan leher, selain selesa setelah mengamalkannya beberapa ketika.

Sebelum melakukan senaman, mereka melakukan gerakan badan ringan untuk pemanasan.

Trend itu bukan sahaja menarik minat golongan tua, malah golongan muda terdiri daripada penuntut universiti.

Salah seorang daripadanya mengatakan, ia bukan sahaja melegakan sakit leher, malah turut memperbaiki penglihatannya, namun tidak kurang juga yang berpendapat ia kelihatan menyakitkan dan tidak selesa untuk badan. – Agensi

Senaman merangkak mula popular di Zhengzhou. – Gambar oleh China Foto Press