Senaman Qigong berjaya tarik perhatian di AS

NEW YORK – Pakar seni Qigong menjelaskan bahawa mempelajari Wuqinxi yang meniru aksi pergerakan beruang, harimau, monyet, rusa dan burung nyata dapat memberikan pengalaman menarik terutama dalam melakukan rutin senaman dan latihan yang setentunya memiliki manfaat tersendiri terhadap kesihatan.

Melakukan aktiviti Qigong yang merupakan sejenis senaman tradisi Cina adalah ibarat impian menjadi kenyataan bagi kebanyakan warga Amerika di mana ia bertujuan untuk mengeksploitasikan tenaga dalaman tubuh manusia sekaligus memberikan unsur keharmonian fizikal dan mental.

Lebih menarik lagi, apabila mereka tidak perlu pergi ke China untuk melakukan aktiviti tersebut kerana sesi rutin senaman itu telah dianjurkan di Long Island, New York baru-baru ini.

Sekurang-kurangnya 100 orang peserta dari New York, New Jersey, Connecticut dan California telah menyertai aktiviti senaman tradisi seiring dengan pelancaran Kem Latihan Qigong 2018.

Bersesuaian dengan cuaca yang cerah, mereka telah berkumpul di kawasan yang memiliki panorama indah berlatarkan Hotel Oheka Castle di timur Long Island untuk mengikuti teknik pergerakan tersendiri daripada pakar Qigong, Wang Xiaojun yang juga merupakan seorang profesor dan tutor pascasiswazah di Universiti Sukan Beijing.

“Setentunya ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan untuk mempelajari enam pergerakan baru dari Wang yang secara tidak langsung akan menggerakkan tubuh anda dan mengaktifkan otot anda mengikut gerakan tertentu,” jelas Marc Santiago, seorang guru bersara dari New York yang turut mengambil peluang untuk menyertai acara itu.

Santiago yang sebelum ini pernah mengikuti kelas Taichi dan Qigong di Long Island selama empat tahun memberitahu kepada Xinhua bahawa dia berasa sangat gembira kerana rutin senaman ini secara langsung telah meningkatkan tahap kesihatan, keseimbangan dan daya tahan diri.

“Senaman ini secara tidak langsung boleh mengelakkan kebimbangan di dalam diri anak-anak untuk menjaga saya ketika berada di usia emas apabila saya mula mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan dengan lebih awal,” jelas Santiago.

“Senaman Qigong ini telah banyak membantu saya untuk kekal cergas dan menghilangkan rasa tekanan apabila ia turut memberi ketenangan terhadap minda saya,” jelas Olivia Rosenkrantz yang merupakan seorang penari dari Manhattan dan telah mempelajari mengenai teknik Qigong dan Taichi selama tiga tahun.

“Setiap teknik Qigong yang saya pelajari pada hari ini setentunya akan tetap menjadi amalan harian dalam meningkatkan tahap kesihatan saya,” jelasnya yang memang cukup aktif bersenam bersama dengan suaminya setiap hari.

Sherley Chock, seorang tutor dari Pusat Taichi Aiping yang berpusat di Connecticut menjelaskan bahawa kem latihan itu bukan sahaja memberi sumbangan kepada dirinya bahkan juga 70 orang lagi pelajar. Sebelum ini, Chock juga pernah berpeluang untuk mengunjungi China pada tahun 2006 bagi mengikuti program pertukaran singkat dan menyertai latihan.

“Saya berasa sangat bertuah kerana berpeluang untuk mempelajari teknik dan kemahiran Qigong yang jelas dapat memberikan manfaat kesihatan daripada pakarnya. Malah generasi muda juga kelihatan cukup bersemangat untuk mempelajarinya kerana ia memiliki teknik pergerakan yang sangat unik,” jelas Chock yang pada awalnya hanya merupakan peserta taichi biasa dan turut berpeluang untuk membuka sebuah pusat kecergasan yang menumpukan kepada senaman tersebut.

Profesor Wang Xiaojun merupakan pakar dalam senaman Qigong dan telah membimbing dalam melakukan senaman tersebut sebanyak empat kali. – Xinhua
Warga AS kelihatan cukup bersemangat untuk melakukan senaman Qigong terutama dalam mengambilkira akan manfaatnya terhadap kesihatan tubuh badan dan minda. – Xinhua

Kem latihan yang dianjurkan selama tiga hari itu merupakan anjuran kerjasama di antara Persatuan Taichi Qigong Amerika dan Persatuan Qigong Kesihatan Cina yang dijadikan sebagai acara tahunan di mana penganjurannya pada tahun ini adalah kali keempat.

“Senaman Qigong memang sangat menyeronokkan dan cukup mudah dipelajari di mana ia juga popular di seluruh dunia. Ini merupakan lawatan kali keempat ke New York dan saya sentiasa terpegun setiap kali melihat perkembangan para pengamal yang melakukannya bukan sahaja dari sudut kemahiran dan juga dari sudut pemahaman sudut budaya dan falsafah Cina,” jelas Profesor Wang, pensyarah dari Universiti Sukan Beijing.

Sama seperti Yoga di India, Qigong memiliki sejarah panjang tersendiri diamalkan sejak beribu tahun lalu.

Amalan Qigong juga dipercayai dapat meningkatkan keharmonian di antara alam semula jadi dengan manusia khususnya pada badan dan minda.

Menurut Ketua Delegasi Persatuan Qigong Kesihatan Cina, Wang Jianjun terdapat kira-kira 6.5 juta orang yang aktif mengamalkan Qigong di dunia pada ketika ini termasuk 2.5 juta daripadanya datang dari tanah besar China sendiri.

Lynn Xu, seorang tutor veteran di Pusat Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Sitan di New York menjelaskan bahawa seramai 50,000 orang di 20 negeri di AS aktif melakukan senaman Qigong.

Rutin senaman tersebut memang berjaya meraih populariti dari pelbagai peringkat usia dan kumpulan etnik di mana hanya seramai enam orang yang menyertainya di Pusat Taichi dan Seni Mempertahankan Diri Sitan di New York pada tahun 2007 dan meningkat kepada 200 orang pada masa ini.

“Aktiviti senaman Qigong memang banyak memberikan manfaat terhadap perkembangan minda dan kesihatan fizikal individu yang setentunya seronok dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan,” jelas Rosenkrantz.

“Memberitahunya sahaja tidak cukup anda harus menunjukkan keseronokannya terhadap orang lain dengan mempraktikkannya,” jelas Santiago.

“Rata-rata ramai yang memuji bentuk fizikal saya setelah aktif melakukan amalan Qigong ini. Lebih menarik lagi apabila ada yang turut memuji penampilan saya yang kelihatan awet muda,” tambahnya. – Xinhua