Thursday, November 7, 2024
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Senaman tingkat kesihatan otak

    Oleh Brian Ho dari Universiti Florida –

    Orang yang mencecah peringkat usia tua secara kerap terlibat dalam aktiviti aerobik dan latihan stamina memiliki hasil lebih baik dalam ujian kognitif berbanding mereka yang kurang aktif atau hanya mengambil bahagian dalam senaman aerobik.

    Itulah penemuan utama kajian baharu penulis yang diterbitkan dalam jurnal GeroScience.

    Seramai 184 orang dinilai oleh penulis yang memiliki kesihatan kognitif dalam lingkungan usia 85 hingga 99 tahun.

    Setiap peserta melaporkan tabiat senaman mereka dan menjalani ujian neurofisiologi yang komprehensif untuk mengukur pelbagai aspek fungsi kognitif.

    Penulis mendapati mereka yang menggabungkan senaman aerobik, seperti berenang dan berbasikal serta senaman stamina seperti angkat berat dalam rutin mereka tanpa mengira intensiti dan tempoh latihan mempunyai kecergasan mental yang lebih baik, pemikiran yang lebih pantas dan keupayaan untuk mengubah atau menyesuaikan pemikiran mereka.

    Menggunakan alat saringan kognitif terkenal yang dipanggil Penilaian Kognitif Montreal yang memberikan pandangan seimbang tentang pelbagai aspek kognisi, penulis mendapati orang yang tidak terlibat dalam sebarang senaman fizikal mendapat skor lebih rendah berbanding mereka yang melakukan kedua-dua latihan kardio dan stamina.

    Warga emas yang kerap melakukan senaman aerobik dan latihan kekuatan mendapat hasil lebih baik dalam ujian kognitif. – Gambar Freepik
    Senaman aerobik dan kekuatan mampu tingkatkan kesihatan otak di usia lanjut.– Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    Perbezaan itu sedikit tetapi ketara walaupun semasa mengawal faktor-faktor lain seperti pendidikan dan jumlah orang yang bersenaman.

    Di samping itu, kumpulan yang melakukan kedua-dua jenis senaman berprestasi lebih baik dalam aktiviti kognitif tertentu, seperti pengekodan simbol, selain hasil saringan.

    Perlu diperhatikan walaupun kajian penulis menunjukkan wujudnya korelasi antara gabungan senaman aerobik dan stamina dengan skor ujian kognitif yang lebih tinggi, reka bentuk kajian tidak membolehkan penulis menentukan hubungan sebab-akibat.

    Walau bagaimanapun, hasil itu menunjukkan rutin senaman yang pelbagai berkaitan dengan peningkatan fungsi kognitif bagi mereka yang berusia hampir 90an dan seterusnya.

    Penulis menjalankan kajian itu sebagai sebahagian daripada kerjasama besar di beberapa lokasi dengan Yayasan Penyelidikan Otak McKnight, yang mempunyai institut di Universiti Florida, Universiti Miami, Universiti Arizona dan Universiti Alabama-Birmingham.

    Mengapa ia penting

    Penuaan penduduk global menjadikan kesihatan kognitif satu isu yang penting.

    Bilangan orang yang disahkan menghidap penyakit Alzheimer di Amerika Syarikat dijangka meningkat kepada hampir 14 juta orang menjelang 2060, berbanding lebih 6 juta pada tahun 2020.

    Penemuan penulis tidak hanya memberikan harapan untuk penuaan yang lebih sihat tetapi juga menawarkan pendekatan praktikal untuk mengekalkan atau meningkatkan kesihatan kognitif dalam dekad terakhir hidup mereka.

    Hasil kajian itu bukanlah sekadar angka, ia mewakili keupayaan pemikiran dalam dunia sebenar yang boleh mempengaruhi kualiti hidup bagi mereka yang memasuki usia emas.

    Fakta menyatakan hampir 70 peratus peserta kajian telah terlibat dalam senaman fizikal sebelum menyertai kajian yang mencabar stereotaip bahawa usia tua dan tidak aktif secara fizikal harus berjalan seiring.

    Penemuan penulis memberikan asas bukti kepada penyedia penjagaan kesihatan untuk mempertimbangkan bagi mencadangkan rejimen campuran aerobik dan latihan kekuatan sebagai sebahagian daripada pelan kesejahteraan pesakit mereka.

    Kajian menunjukkan apabila penurunan kognitif diperlahankan, orang ramai membelanjakan wang untuk perubatan dan menjalani kualiti hidup yang lebih tinggi.

    Apa seterusnya

    Beberapa soalan seterusnya yang kami harap dapat dijawab termasuk: Apakah jenis senaman aerobik dan kekuatan yang paling berkesan untuk kesihatan kognitif? Adakah berjalan berkesan seperti berjoging? Adakah mengangkat berat mempunyai kesan yang sama seperti latihan jalur rintangan? dan berapa banyak senaman yang diperlukan untuk melihat faedah kognitif yang ketara?

    Satu lagi persoalan kritikal ialah potensi senaman sebagai rawatan untuk gangguan neurokognitif di kalangan orang tua. Keputusan penulis menunjukkan bahawa aktiviti fizikal adalah langkah pencegahan.

    Tetapi, bolehkah ia menjadi rawatan aktif untuk penurunan kognitif? Itu merupakan perkembangan yang menarik dan yang membuka pelbagai kemungkinan baharu untuk membantu orang ramai hidup sepenuhnya sepanjang hayat mereka. – The Conversation

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda