Senapang dan peluru ditemui

TEMBURONG, 5 Jan 2004 – Polis menahan lelaki tempatan berusia 60 tahun untuk siasatan lanjut selepas menemui senapang buatan sendiri dan peluru tersembunyi atas siling ketika polis membuat serbuan dan menggeledah sebuah rumah di kampung berhampiran di sini.

Selain selaras senapang dan peluru, polis turut merampas benda tajam dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai tempuling serta beberapa butir logam yang sudah diubah suai untuk kegunaan senapang itu.

Timbalan Penolong Penguasa Polis Awang Sulaiman bin Haji Ahad dari Balai Polis Bandar Bangar yang mengetuai serbuan itu berkata polis juga merampas beberapa kotak minuman keras tersimpan dalam stor  rumah itu.

Menurutnya, serbuan ini adalah hasil maklumat orang ramai dan juga yang pertama pada tahun tersebut.

Sementara di Bandar Seri Begawan, polis yang melancarkan Operasi Pencegah Jenayah yang tertumpu di beberapa buah kawasan Pekan Muara menahan 40 orang warga asing dan tempatan untuk siasatan lanjut.

Ini adalah operasi mengejut yang dilakukan oleh Balai Polis Muara pada tahun baharu 2004 dalam meneruskan usaha pencegahan jenayah di negara ini.

Pemeriksaan jalan raya juga dilakukan terhadap penum-pang dan pemandu di kawasan Kampung Sabun yang bertentangan dengan Masjid Setia Ali, Pekan Muara.

Dalam pemeriksaan itu, beberapa orang pemandu cuba mengelak daripada sekatan yang dibuat tapi atas kepantasan peronda bermotosikal masalah itu dapati ditangani.

Beberapa warga asing turut diperiksa ketika turun dari bas di Pekan Muara tersebut.