Senapang,pistol buatan sendiri dirampas

LAWAS, 14 Mei – Polis telah merampas dua laras senapang buatan sendiri, sepucuk pistol buatan sendiri serta 25 butir peluru hidup untuk senapang patah dalam serbuan dilakukan kampung Punang Berayong, Long Sukang awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata, senjata api tersebut ditemui di dalam kenderaan pacuan empat roda ketika serbuan serta pemeriksaan dilakukan  pada 2.15 pagi.

“Tiga suspek lelaki ditahan termasuk seorang warga Indonesia dan kini disiasat di bawah Sekysen 8 Akta Senjata Api 1960,”katanya dalam satu kenyataan hari ini sambil menyatakan senjata api tersebut dipercayai digunakan untuk memburu.

Sahar berkata, ketiga-tiga suspek yang berumur 34 dan 67 tahun itu turut ditahan di bawah seksyen 15(1)(a) dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta turut dirampas ialah syabu seberat 37.6gram bernilai RM11,280.

“Kesemua suspek adalah penganggur dan salah seorang suspek yang berusia 52 tahun positif dadah manakala yang lain negatif,” katanya lagi. – Bernama