Senarai akhir pemain Piala Thomas, Uber akan dimuktamad

KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka memuktamadkan  senarai penuh skuad ke Piala Thomas dan Piala Uber selewat-lewatnya sebelum pertengahan bulan depan.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata barisan kejurulatihan masih membuat penilaian bagi memastikan mereka yang benar-benar layak diberikan peluang beraksi pada kedua-dua kejohanan berprestij itu.

“Tarikh akhir untuk kita menghantar senarai pemain adalah pada pertengahan September ini dan kita masih ada masa.

Kita akan mengadakan kem motivasi sebelum menghadapi Piala Thomas dan Piala Uber,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja bersama wakil Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Goh memaklumkan badan induk itu akan mengadakan ujian saringan COVID-19 sebelum skuad Malaysia berlepas dan setibanya di Denmark nanti bagi memastikan pemain negara bebas daripada ancaman pandemik berkenaan. – Bernama