Senarai hitam negara syurga elak cukai bertambah

BRUSSELS, 13 Mac – Kesatuan Eropah (EU) telah memperluaskan senarai hitam untuk negara syurga perlindungan cukai kepada 15 negara hari ini sambil menambah United Arab Emirates (UAE) dan Bermuda ke dalam senarai walaupun mendapat bantahan daripada negara anggota kuat seperti Itali.

Senarai pertama telah dibuat pada 2017 berikutan beberapa skandal termasuk Panama Papers dan LuxLeaks yang mendorong EU untuk melakukan lebih banyak usaha untuk membanteras pengelakan cukai multinasional dan individu yang kaya-raya.

Tujuh negara akan dipindahkan dari senarai kelabu kerana komitmen terhadap reformasi belum lagi dipenuhi. Negara berkenaan adalah Aruba, Belize, Bermuda, Fiji, Oman, Vanuatu dan Dominica, menurut kenyataan EU itu lagi.

Negara-negara berkenaan disertai oleh tiga lagi negara lain yang dasar cukainya semakin agresif sejak beberapa bulan yang lalu. Negara berkenaan ialah Barbados, UAE dan Kepulauan Marshall.

Itali sudah lama menentang penambahan UAE ke dalam senarai hitam itu setelah kuasa Timur Tengah tersebut baru-baru ini membuat pelaburan besar di Eropah yang mengalami masalah ekonomi.

Rom mahu mengekalkan UAE dalam senarai negara-negara kelabu yang telah berikrar untuk menempatkan undang-undang cukai mereka sama dengan standard yang ditetapkan oleh Brussels.

“Semuanya akan diselesaikan apabila undang-undang baru diluluskan di UAE, kata Menteri Kewangan Itali, Giovanni Tria. “Emirates akan keluar segera selepas itu.”

Britain, beberapa minggu sebelum perceraiannya dengan EU pada 29 Mac juga menentang penambahan wilayah luarnya Bermuda ke dalam senarai hitam tetapi mula melemah minggu lalu.

Lima negara terus disenaraihitamkan ialah Samoa Amerika, Guam, Samoa, Trinidad dan Tobago serta Kepulauan Virgin Amerika Syarikat kerana tidak melakukan apa-apa untuk mewajarkan mereka dipindahkan daripada senarai syurga perlindungan cukai. – AFP