Senat AS lulus rang undang-undang perbelanjaan

WASHINGTON, 18 DIS – Senat Amerika Syarikat (AS) meluluskan rang undang-undang perbelanjaan bernilai AS$738 bilion yang termasuk beberapa langkah anti-Turki, lapor agensi berita Anadolu.

Menerima undian 86 berbalas lapan, rang undang-undang yang telah diluluskan kemudian dihantar kepada Presiden Donald Trump untuk ditandatangani.

Rang undang-undang itu mengan-dungi langkah-langkah tambahan yang antara lain menyasarkan Turki termasuk larangan memindahkan pesawat tempur generasi kelima F-35 atau sebahagiannya ke Turki ekoran langkah Ankara membeli sistem pertahanan udara S-400 dari Rusia dan menggesa Trump melaksanakan sekatan ke atas negara itu. Kelulusan itu juga membolehkan Pentagon menerima peruntukan kira-kira AS$30 juta untuk membeli pesawat F-35 yang pada awalnya dibeli oleh Turki.

Tindakan Turki membeli sistem pertahanan udara Rusia mendorong pentadbiran Trump menyingkirkan Turki dari program F-35 pada Julai lalu. AS mendakwa sistem itu boleh digunakan Rusia untuk mengintip dan tidak sesuai dengan sistem NATO.

Turki, menegaskan S-400 tidak akan disatukan ke dalam sistem NATO dan tidak menjadi ancaman kepada pakatan kedua-dua negara.

Di samping itu rang undang-undang berkenaan terus mengenakan sekatan senjata terhadap Cyprus selatan dan ke atas kapal yang digunakan untuk membina saluran paip Turkstream dan Nord Stream 2.

Turki mengkritik tindakan AS yang menyingkirkannya dari program F-35 kerana pembelian sistem pertahanan udara S-400 Rusia. – Bernama