Senator seru siasat FaceApp

NEW YORK, 18 JULAI – Aplikasi popular berpusat di Rusia, FaceApp yang membenarkan pengguna menukar wajah mereka menjadi muda atau tua, dikritik keras di Amerika Syarikat semalam, dengan seorang senator menggesa penyiasatan FBI dilancarkan.

Pemimpin Minoriti Senat, Chuck Schumer menyeru FBI dan FTC – badan perlindungan pengguna AS, untuk ‘meneliti risiko keselamatan antarabangsa dan privasi’ dikaitkan dengan FaceApp yang digunakan oleh berjuta-juta rakyat Amerika namun dimajukan oleh syarikat berpusat di Saints Petersburg.

“Lokasi FaceApp di Rusia membangkitkan persoalan bagaimana syarikat itu menyediakan akses kepada data warga AS kepada pihak ketiga, termasuk potensi akses kepada kerajaan asing,” senator New York itu mengatakan dalam sepucuk surat kepada FBI.

“Ia akan menjadi satu yang mengganggu jika maklumat peribadi sensitif warga AS disediakan kepada kuasa asing bermusuhan yang secara aktifnya terbabit dalam perseteruan dengan Amerika Syarikat,” tambahnya.

Schumer bukan satu-satunya Demokrat yang bimbang. Menurut Washington Post, Jawatankuasa Kebangsaan parti itu juga memberi amaran kepada pihak berkempen menjelang pilihan raya presiden 2020 agar segera memadamkan aplikasi tersebut.

Wakil FaceApp belum lagi bertindak balas terhadap surat Schumer namun ketua pegawai eksekutif syarikat memberitahu Washington Post bahawa aplikasi itu tidak menggunakan foto bagi sebarang tujuan lain. – AFP

Gambar ilustrasi menunjukkan aplikasi FaceApp kelihatan di skrin sebuah telefon pintar. Aplikasi buatan syarikat Rusia itu mengungguli carta aplikasi, membenarkan berjuta pengguna melihat bagaimana rupa mereka sudah tua, mencetus kritikan di Amerika Syarikat. – AFP