FRANCEVILLE, Gabon, 20 Jan – Bintang penyerang Liverpool, Sadio Mane menemui sasaran dalam kemenangan 2-0 Senegal ke atas Zimbabwe awal pagi tadi, untuk membantu pasukannya pertama layak ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika 2017.
Senegal mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan B, meskipun sekiranya mereka tewas pada perlawanan terakhir menentang Algeria yang bergelut, selepas Mane dan Henri Saivet menjaringkan gol dalam masa 13 minit.
Senegal bakal berdepan naib juara Kumpulan A bagi merebut tempat ke separuh akhir. Tunisia dijangka menyertai Senegal pada suku akhir selepas menewaskan Algeria 2-1.
Apabila Senegal bertemu Algeria pada Isnin depan, Tunisia pula akan berdepan pasukan Zimbabwe di ibu kota Gabon, Libreville.

Senegal mengutip enam mata penuh daripada dua perlawanan, Tunisia pula berjaya mengutip tiga dan Algeria serta Zimbabwe masing-masing mengutip satu mata menuju ke perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
“Gol hari ini adalah untuk layak dan kami berjaya melakukannya,” kata pengendali Senegal dan bintang Piala Dunia 2002, Aliou Cisse.
“Walaupun kami bermain agak teruk pada perlawanan pertama (menentang Tunisia), kami menang. Hari ini kami bermain baik dan menang, dan kami layak.
“Sudah 10 tahun sejak kali terakhir kami ke suku akhir. Kini kami layak dan saya ucapkan tahniah kepada para pemain. Kami perlu terus menghasilkan aksi seperti ini.” – AFP
































