Saturday, January 25, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Senegal tagih bisa Mane

    SAMARA, 27 Jun – Senegal perlu memperbaiki kesilapan pertahanan dan mencari jalan untuk mengembalikan sengatan Sadio Mane seperti yang dilakukannya untuk Liverpool jika mereka mahu menjinakkan Colombia Khamis ini dan mara ke peringkat 16 terakhir.

    Jurulatih Aliou Cisse sangat kritikal dengan skuadnya selepas mereka meraih keputusan seri 2-2 dengan Jepun Ahad lalu, dengan berkata bahawa lawan mereka merupakan pasukan lebih bagus dan menggesa Mane bangkit.

    “Secara jujurnya, kami tidak bermain dengan baik,” kata Cisse, kapten Senegal yang mara hingga suku akhir 2002, penampilan terakhir mereka di Piala Dunia.

    Cisse jelasnya tidak gembira dengan cara Senegal melepaskan dua gol pendahuluan mereka di Yekaterinburg.

    Jaringan penyamaan Keisuke Honda, ketika perlawanan berbaki 12 minit, adalah jaringan mudah yang tidak seharusnya dibiarkan.

    Penyerang Senegal, Sadio Mane diharap menemui semula ketajamannya seperti yang dilakukannya bersama Liverpool, ketika Senegal bakal menghadapi Colombia bagi aksi terakhir Kumpulan H. – AFP

    Kemenangan sudah tentu mengesahkan mereka ke pusingan seterusnya, namun kini mereka terpaksa berdepan skuad Colombia di Samara, yang mana Colombia mula menemui sentuhan mereka selepas kemenangan bergaya 3-0 ke atas Poland.

    Memasuki perlawanan terakhir Kumpulan H, Jepun dan Senegal berkongsi empat mata, Colombia mempunyai tiga mata dan Poland tanpa sebarang mata.

    Itu bermakna keputusan seri sudah cukup buat skuad Cisse untuk mara.

    Belgium dan England akan menanti mereka, mana-mana dua pasukan yang mara dari Kumpulan H.

    Senegal jauh daripada meyakinkan ketika menentang Jepun dan malah jaringan pembukaan Mane boleh dikatakan bernasib baik.

    Penyerang berusia 26 tahun itu, kembali selepas musim berjaya di Anfield, yang menyaksikan Liverpool mara ke final Liga Juara-Juara, beraksi hambar selepas itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda