Sengaja rahsia hubungan cinta

Walaupun masih belum mempunyai tarikh untuk disatukan, pasangan selebriti yang baru sahaja mengikat tali pertunangan, Ernie Zakri dan Syamel sudah pun mempunyai lagu khas sempena hari bahagia mereka.

Ernie berkata, lagu ciptaan mereka berdua akan menceritakan kisah percintaan yang disimpan rapi sebelum ini.

“Lagu sudah ada dan ia adalah hasil ciptaan saya dan Syamel. Cuma, kami belum berbincang mengenainya dengan lebih lanjut. Jika boleh, kami mahu lagu ini dilancarkan pada hari perkahwinan.

“Memandangkan dua lagu sebelum ini liriknya banyak yang sedih, kali ini saya mahu lagu yang ‘sweet’,” kata Ernie kepada media.

Mengulas kisah pertunangannya, penyanyi yang baru sahaja muncul dengan single Boneka itu berkata, mereka sengaja merahsiakan hubungan yang terjalin atas alasan tersendiri.

“Saya dan Syamel mempunyai prinsip sama iaitu selagi tidak sahih, kami tidak akan berkongsi apa-apa. Bagi kami, soal percintaan biarlah hanya kami dan keluarga sahaja yang patut tahu.

“Disebabkan itu, kami lebih selesa memberitahu kepada semua pihak hubungan sebagai kawan. Selepas beberapa tahun berkawan rapat, kami memutuskan membawa hubungan ini ke fasa seterusnya, tahun lalu.

“Kami sudah menunaikan janji tersebut iaitu dengan mengumumkannya di Instagram,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti, Immortal Songs, semalam.

Ditanya mengenai pemilihan tarikh perkahwinan, Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia masih belum ada kata putus daripada keluarga kedua-dua belah pihak mengenai perkara itu.

“Insya-Allah, jika boleh awal tahun depan, tetapi kami masih mencari tarikh dan lokasi yang sesuai. Perancangan perlu dibuat dengan lebih teliti termasuk bilangan tetamu kerana kami perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.” – Agensi

Kisah cinta Ernie Zakri dan Syamel yang disimpan kemas selama bertahun-tahun dikongsi menerusi gubahan lagu. – Agensi