Seni bela diri penting untuk kaum hawa

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Mungkin ada yang berfikir jika kaum hawa didedahkan kepada aktiviti lasak antaranya seni mempertahankan diri seperti tekwondo, silat dan karate, mereka akan menjadi keras.

Mungkin juga inilah antara sebab mengapa ada sesetengah pihak seperti ibu bapa tidak membenarkan anak perempuan mereka menyertai aktiviti seperti ini kerana bimbang anak gadis mereka akan hilang manisnya atau kelembutannya.

Namun jika dilihat dari perspektif yang positif, ia lebih memberi manfaat berbanding kesan negatif. Malah pendedahan kepada seni bela diri juga sememangnya mampu djadikan benteng pertahanan apabila berdepan dengan situasi kecemasan atau pun saat dalam ancaman bahaya.

“Sudah tiba masanya kita sebagai golongan wanita dan kanak-kanak didedahkan dengan lebih mendalam tentang keselamatan diri, lebih-lebih kita kini berdepan dengan persekitaran yang semakin mencabar dari hari ke hari.

“Walaupun ia bukan satu jaminan kita akan terselamat daripada ancaman bahaya, namun setidak-tidaknya kita memiliki kemahiran asas untuk mempertahankan diri, sekali gus mengelakkan terus menjadi sasaran pemangsa atas perkara-perkara yang tidak diingini,” kata Dayang Nor Syariena @ Nor Diyanah Abdul Rahman selaku pengasas dan jurulatih dalam perkhidmatan seni mempertahankan diri tempatan di bawah nama Panther Guild semasa ditemui penulis dan rakan Media Permata, baru-baru ini.

Bukan untuk menjadi kuat bahkan sememangnya ia bermatlamat untuk menyelamatkan diri sendiri ketika menghadapi sebarang gangguan yang boleh berlaku dalam sekelip mata, itulah harapan besar Dayang Nor Syariena selaku pengasas dan jurulatih Panther Guild semasa ditemui penulis dan rakan Media Permata, baru-baru ini.
Antara teknik asas yang diketengahkan ialah teknik pukulan, tendangan, knife-hand strike, elbow strike dan back-fist strike.
Antara kemudahan dan peralatan yang digunakan untuk latihan seni mempertahankan diri yang diketengahkan oleh Dayang Nor Syariena.

Demi keselesaan bersama

Perkhidmatan seni mempertahankan diri yang dijalankan sejak tahun lepas ini bermula ketika Dayang Nor Syariena mengikuti program inkubasi di bawah Discovery Year dalam pengajian Tahun 3 di Universiti Brunei Darussalam, mencetuskan ilham kepada dirinya untuk menerokai seni mempertahankan diri lebih-lebih lagi apabila melihat situasi kehidupan masyarakat yang semakin mencabar terutamanya dalam kalangan wanita dan kanak-kanak seperti isu penderaan dan rogol.

“Demi mewujudkan keselesaan bersama dalam mempelajari kelas seni bela diri ini, saya hanya mengkhususkan perkhidmatan ini untuk golongan wanita dan kanak-kanak sahaja. Perlu diingat bahawa kadang-kadang, keadaan tidak mengizinkan kita untuk sentiasa berdamping dengan suami atau adik-beradik lelaki ketika berjalan di suatu tempat, maka alangkah baiknya jika kita sentiasa berwaspada dengan setiap persekitaran dan orang lain yang sememangnya sukar untuk dijangka,” ujarnya dengan penuh keyakinan.

Bukan sebarang tumbukan dan tendangan

Dayang Nor Syariena yang juga memiliki kemahiran dalam bidang seni bela diri tekwando sehingga meraih pencapaian-pencapaian yang membanggakan ini, turut menjelaskan secara umumnya seni mempertahankan diri bukan untuk menjadi kuat bahkan ia bermatlamat untuk menyelamatkan diri sendiri ketika menghadapi sebarang gangguan yang boleh berlaku dalam sekelip mata. Antara teknik asas yang diketengahkan ialah teknik pukulan, tendangan, teknik knife-hand strike, elbow strike dan back-fist strike.

“Pukulan yang paling efisien adalah pada bahagian paras dada seseorang dengan menggunakan genggaman buku lima tangan. Manakala dari segi tendangan pula dengan mengangkat lutut dan menendang seperti menghala ke perut.

“Pukulan dan tendangan sebaik-baiknya dilakukan dengan teknik-teknik yang betul. Setiap pukulan dan tendangan perlu tepat pada posisi-posisi penting pada anggota tubuh badan tertentu seperti kepala, leher, mata, hidung, dagu dan dada serta bahu. Semua ini penting untuk meraih gerak langkah dengan lebih efisien dan efektif ketika membela diri,” tambahnya dengan lebih terperinci yang turut bersyukur telah mendidik lebih 20 orang pelajar di bawah perkhidmatannya.

Mewujudkan insan berdisiplin penuh keyakinan

Beliawanis yang kini berusia 24 tahun ini juga mengungkapkan bahawa seni mempertahankan diri seperti ini begitu indah jika kita menyelami dengan penuh keikhlasan. Setiap pergerakan mempunyai makna tersendiri sehingga ia dapat mewujudkan seseorang yang berdisiplin dan juga memiliki komitmen yang tinggi serta melahirkan keperibadian penuh berkeyakinan dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

“Memang kaum hawa tidak dapat menandingi kaum adam. Itulah hakikatnya. Namun bukan bererti jika kita mengikuti aktiviti seni bela ini, kita ingin menjadi kuat bahkan ia sebagai satu kemahiran untuk menjaga keselamatan diri apabila berdepan situasi tidak diingini.

“Yakin dan jangan mudah berputus asa untuk kita menerokai aktiviti sebegini. Hal ini amat penting untuk kita terutamanya kaum wanita yang mungkin kebiasaannya dianggap kaum yang lemah, namun ia tidak boleh mematahkan semangat kita semua untuk menjadi insan yang tegas, cekap dan pantas demi membela diri daripada ancaman tertentu yang sememangnya amat sukar diduga di mana-mana,” katanya sambil menekankan langkah-langkah keselamatan kepada para pelajarnya antara-nya dengan penggunaan sarung tangan khas dan juga pelindung tubuh ketika menjalankan latihan yang mencabar, semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.