Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Seni DIY ‘House of Art’ gamit kenangan lama

    Gambar Bernama

    KUALA PILAH – Dari luar, sebuah rumah berstruktur kayu dan simen beratapkan zink di Kampung Temeris di sini, tiada yang istimewa kerana binaannya sama sahaja dengan jiran sebelah-menyebelah.

    Tetapi benarlah kata orang, yang dilihat di luar tidak semestinya sama dengan yang di dalam.

    Terletak kira-kira 20 minit memandu dari pekan Kuala Pilah, rumah kampung ini menyimpan 1,001 keistimewaan dengan aura tersendiri sehingga mampu memukau sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke dalam teratak milik pasangan suami isteri Norfaizal Wahab dan Rafidah Nani Afandi itu.

    Dikenali sebagai ‘House of Art’, kediaman berkeluasan 3,700 meter persegi itu menjadi sohor kini di aplikasi media sosial TikTok dan menarik kunjungan peminat hiasan dalaman yang mahu melihat sendiri sentuhan kreatif pasangan yang masing-masing berusia 45 tahun tersebut.

    “Kami mula ubah suai rumah ini pada 2010, di mana kami kekalkan ibu rumah dan beranda yang berstruktur kayu sepenuhnya. Kami cuma tambah bahagian dapur dan selepas itu kami mula menghiasi dalaman rumah.

    Pemilik kediaman ‘House of Art Kuala Pilah’ Rafidah Nani Afandi dan Norfaizal Wahab di Kampung Temeris.
    Hiasan dinding di ruangan dapur di ‘House of Art Kuala Pilah’ di Kampung Temeris.
    Dekorasi ruang tamu yang menggunakan warna neutral menaikkan lagi keindahan rumah dengan bantuan pencahayaan semula jadi menjadi spot untuk pengunjung merakam gambar kenangan di ‘House of Art Kuala Pilah’ di Kampung Temeris.
    Pemandangan biasa di perkarangan luar rumah ‘House of Art Kuala Pilah’ berukuran 40X50 kaki per segi di samping mempunyai tempat parkir luas.

    “Kami pilih tema tradisional sebab saya peminat barangan klasik, dan memanfaatkan sepenuhnya barang-barang tinggalan arwah ibu serta ibu mentua saya, Waginum Sasteruwa dan Maroatun Salim. Proses ini siap sepenuhnya pada 2019. Awalnya kami sekadar berkongsi gambar dan video hasil kerja di media sosial untuk tatapan kawan-kawan, tak sangka pula boleh tular,” kata Rafidah Nani yang merupakan seorang suri rumah kepada Bernama.

    Mula menjadi sebutan dalam kalangan peminat dekorasi dalaman pada 2021, keunikan rumah pasangan itu tidak hanya terletak pada barang-barang lama, tetapi kreativiti Rafidah Nani dan suami dalam memadankan barang-barang lama seperti sudu, penyepit arang dan dulang dengan barangan terpakai.

    “Kami buka rumah ini kepada orang ramai selepas mendapat banyak permintaan daripada mereka yang ingin melihat sendiri dekorasi klasik dan hiasan daripada barangan kitar semula… bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga dari Kuala Lumpur, Johor, malah Brunei dan Singapura.

    “Apabila mereka memasuki rumah ini, respons mereka ialah dekorasi tersebut barangan mewah. Jadi mereka terperanjat apabila diberitahu ia sebenarnya barangan kitar semula yang kami baik pulih dan hiaskan semula,” ujar wanita itu, menambah kediamannya dibuka kepada umum pada setiap hujung minggu.

    Mewah, nilai tinggi

    Mungkin ramai tidak percaya, tetapi menurut Rafidah Nani yang lebih mesra dipanggil Kak Nani, barang buangan seperti kayu lama, kertas, kotak dan kain sebenarnya boleh dijadikan perhiasan rumah yang nampak mewah apabila diolah dan diberikan sentuhan kreatif.

    Ini terserlah apabila barangan terpakai terbabit antara elemen utama dekorasi wanita ini bersama suaminya dalam hiasan DIY (buat sendiri), bermula dari ruang tamu hingga ke bahagian dapur, selain barangan klasik yang memenuhi segenap ruang rumah tersebut.

    Misalnya, dinding rumah dihiasi pelbagai koleksi seni daripada kertas yang dicantumkan, antaranya menjadi bentuk kebaya dan dibingkaikan, ranting pokok yang menghiasi penjuru ruang tamu, dekorasi kayu terbuang pada dinding rumah atau dijadikan meja, kerusi terpakai dan sebagainya.

    Barangan lama seperti sudu, alat parut kelapa, penapis santan dan penyepit arang yang ketika ini semakin sukar ditemukan, dibingkaikan menggunakan barangan terpakai dan dijadikan hiasan dinding.

    “Ada yang terkejut apabila diberitahu perhiasan bunga dan pasu yang dibingkaikan hanyalah daripada bekas papan telur, tin biskut lama, kertas, kotak dan daun belalang kerana ia nampak mewah apabila dibingkaikan dalam bentuk 3D (tiga dimensi). Malah saya turut mendapat banyak permintaan untuk menghasilkan seni ini.

    “Kami tidak sangka dengan hanya sekadar hobi dekorasi rumah menggunakan barangan terpakai dan klasik turut memberi pendapatan sampingan. Tetapi bagi kami, selain dapat berkongsi pengetahuan, ia juga diharap dapat membuka mata masyarakat bahawa barangan kitar semula dan klasik boleh menjadikan rumah kita nampak mewah dan menarik,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...