COTONOU – Berlatarkan warna biru dan kuning, artis grafiti memberikan sentuhan imej lukisan semburan patung separuh manusia separuh jerung Raja Behanzin, salah satu khazanah yang dikembalikan ke Benin oleh Perancis akhir tahun lepas.
Imej itu hanya salah satu daripada karya 26 artis grafiti tempatan dan antarabangsa yang telah mencipta mural menggambarkan sejarah dan budaya Benin dan terbentang lebih daripada satu kilometer di sepanjang tembok di bandar utama Benin, Cotonou.
Objektif mereka adalah untuk mencipta lukisan mural terbesar di dunia sebagai sebahagian daripada festival di bawah tema ‘Benin Baharu’.
“Untuk mencipta masa depan Benin, kita mesti mengekalkan Benin masa lalu dalam pandangan kita,” kata Laurenson Djihouessi, yang dikenali dengan nama artisnya Mr Stone, juga merupakan penganjur festival.
Ramai daripada artis grafiti telah memilih untuk mewakili khazanah yang dipulihkan, yang dicuri oleh tentera penjajah Perancis dan kembali ke Cotonou tahun ini selepas rundingan dengan Paris.
Artifak itu telah dipamerkan buat kali pertama di Benin sejak Februari dalam pameran bersejarah di istana presiden, yang terletak beberapa ratus meter dari mural itu.
“Di sana, penonton datang kepada seni, tetapi di sini seni datang kepada penonton,” kata Stone, yang imejnya memberi penghormatan kepada Amazon, askar elit semua wanita dari kerajaan Dahomey, salah satu kerajaan Benin sebelum penjajahan Perancis.
Artis itu berkata dia mahu meletakkan wanita Benin itu “di tengah-tengah tindakan dan pembangunan”, untuk menjadikan mereka ‘Amazon zaman moden’.
Tetapi bukan sahaja sejarah diraja masa silam Benin yang dilukis pada dinding yang menarik perhatian berpuluh-puluh orang yang lalu lalang. Disokong oleh Yayasan Claudine Talon, yang dikendalikan oleh Wanita Pertama Benin, dan Kementerian Kebudayaan, tembok itu juga menyerlahkan pencapaian terkini di negara Afrika Barat itu.
Terdapat kren yang melambangkan pembaharuan pelabuhan Cotonou dan jentera pertanian, merujuk kepada pemodenan sektor pertanian. Imej jalan raya bertujuan untuk menunjukkan sebahagian daripada projek infrastruktur yang digembar-gemburkan oleh Presiden Patrice Talon sebagai salah satu kejayaannya.
Sejak pemilihan pertamanya pada 2015, Talon telah melancarkan berpuluh-puluh projek dalam apa yang dipanggilnya kempen untuk meletakkan negaranya di landasan pembangunan. Walaupun ekonomi mungkin telah dimo-denkan, pembangkang Benin mengatakan demokrasi negara itu juga menderita di bawah pemerintahannya.
Di bahagian dinding seorang artis wanita Drusille Fagnibo turut mengecat bangunan Mahkamah Jenayah Ekonomi dan Keganasan, yang dikenali sebagai Criet. Pengkritik berkata mahkamah khas, yang ditubuhkan pada 2016 dalam usaha untuk menamatkan impuniti dalam kelas politik, digunakan sebagai senjata politik oleh kerajaan untuk menyasarkan pihak lawan.
Pada Disember, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun kepada ketua pembangkang Reckya Madougou kerana melakukan keganasan, satu istilah yang disifatkan peguamnya sebagai serangan politik. Kerajaan mengecam sebarang dakwaan mengatakan mahkamah dimanipulasi untuk tujuan politik.
Dinding sepanjang lebih 700 meter telah dihias sejak 11 April lalu, dan penganjur mahu mengembangkannya kepada 1,300 meter pada awal 2023. Mereka berharap dapat mengatasi rekod lukisan grafiti terpanjang di dunia. – AFP