Seni kembali bertapak selepas kejatuhan Daesh

RAQA – Lebih daripada setahun selepas kumpulan Daesh melarikan diri, kanak-kanak dan remaja Syria kembali beraksi di pentas – melompat-lompat bersama ritma dram di bandar utara Raqa.

Mulanya, pusat kebudayaan dibuka sejak pemerintahan keras Daesh berakhir, cahaya matahari melimpahi perpustakaan baharu dengan buku disusun di dinding yang masih berbau cat.

Selepas hampir empat tahun berada di bawah Daesh yang mengharamkan muzik dan seni, tentera disokong Amerika Syarikat (AS) menghalau pengganas Daesh keluar dari Raqa pada Oktober 2017. Namun, ia mengambil masa untuk memulihkan kehidupan budayanya.

“Saya tidak dapat menceritakan bagaimana gembiranya saya. Selepas semua kemusnahan ini dan tiada lagi seni atau budaya, kami akhirnya memiliki pusat yang kami dapat mendengar lagu serta puisi,” kata Fawzia al-Sheikh ketika perasmian pusat itu awal bulan ini di bandar yang sebahagian besarnya sudah musnah.

Semangat kesenian

Di Galeri Pusat Seni dan Budaya Raqa, lukisan digantung bersebelahan lukisan arang dan berdekatan dengan arca manusia. Di dewan konsert, Malak al-Yatim melangkah keluar daripada pentas selepas persembahan – bersemangat kerana akhirnya dapat menyanyi semula di khalayak ramai.

Ziad al-Hamad, berkata ketika pemerintahan Daesh, penduduk menyembunyikan apa-apa sahaja buku yang dapat. – AFP
Sebelum Daesh berkuasa, bandar itu memiliki 20 pusat kebudayaan dengan yang terbesar mempunyai koleksi 60,000 buku. – AFP

Di dewan konsert, Malak al-Yatim melangkah keluar daripada pentas selepas persembahan – bersemangat kerana akhirnya dapat menyanyi semula di khalayak ramai. – AFP

“Saya berasa seperti burung yang terbang di langit,” katanya yang menambah Daesh memusnahkan alat muziknya dan melarangnya daripada menyanyi.

“Kami seperti burung di sangkar. Sekiranya kami melakukan sesuatu, mereka akan memancung kepala atau menyebat kami,” katanya.

Daesh menguasai Raqa pada 2014 dan menjadikan kota itu sebagai ibu kota de facto Syria dan memperkenalkan peraturan berdasarkan interpretasi ganas. Sebelum Daesh berkuasa, bandar itu memiliki 20 pusat kebudayaan dengan yang terbesar mempunyai koleksi 60,000 buku.

Namun, kelompok ekstremis menutup semua kemudahan itu, membakar dan memusnahkan buku serta lukisan. Bagaimanapun di perpustakaan utama yang baharu, ratusan buku yang diselamatkan kembali disusun di rak.

Menyembunyikan apa sahaja jenis buku

Pengarahnya, Ziad al-Hamad, berkata ketika pemerintahan Daesh, penduduk menyembunyikan apa-apa sahaja buku yang dapat.

“Buku ini seperti yang anda lihat – kami menyelamatkannya daripada dimusnahkan. Apabila bandar ini dibebaskan, mereka menyerahkannya semula kepada kami,” katanya yang turut menganggotai Suruhanjaya Kebudayaan dan Antikuiti.

Tentera Demokratik Syria (SDF) yang dipimpin Kurdish dan disokong AS, menghalau Daesh dari perkampungan Baghouz yang menjadi kubu terakhirnya di wilayah Syria, akhir Mac lalu. Sementara ekstremis terus melancarkan serangan maut di kawasan yang dikuasai SDF – termasuk Raqa – artis tempatan kembali kepada kanvas mereka.

Di galeri pusat kebudayaan, karya pelukis, Amal al-Attar kembali dipamerkan sekembalinya dari buangan di Beirut. Antara karyanya ialah lukisan bot putih yang hanyut di laut, manakala hasil seni yang lain menampilkan rumah di pantai. “Ia ibarat dilahirkan semula,” kata pelukis berusia 37 itu selepas majlis perasmian.

Amal sebelum ini mengendalikan studio untuk seniman tetapi Daesh yang menguasai bandar itu memberitahunya karya seninya termasuk dalam larangan. Beliau meninggalkan 50 karya seni ketika melarikan diri ke negara jiran. “Daesh membakar semuanya. Saya tidak dapat melupakan apa yang berlaku sebelum ini, tetapi pusat kebudayaan ini memberikan haluan baharu kepada kami,” katanya. – AFP