Seni lipatan kertas yang menakjubkan

GAZA – Seorang pemuda Palestin yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan dari sebuah Kem Pelarian di Semenanjung Gaza telah menemui satu cara yang kreatif untuk mengurangkan lagi isu pengangguran dengan mempelajari Origami atau seni lipatan kertas melalui Online.

Ahmed Humaid yang berusia 28 tahun telah mencipta pelbagai bentuk dan kata-kata yang menarik dalam Bahasa Arab dan Inggeris dengan hanya melipat kertas. Hasil-hasil kerja seni yang dihasilkannya itu telah berjaya menarik ramai pelanggan sama ada dari dalam dan luar kawasan Palestin.

Lazimnya, Humaid mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan satu lipatan kertas di rumahnya di Kem Pelarian Nusseirat di tengah Gaza. Setahun yang lalu, Humaid telah mempelajari seni Origami dari Internet, termasuk di beberapa laman web rangkaian media sosial untuk mendalami lagi seni lipatan kertas itu.

Origami adalah seni lipatan kertas yang sering dikaitkan dengan budaya Jepun. Dalam era yang moden ini, perkataan Origami digunakan sebagai istilah inklusif untuk semua jenis lipatan, tanpa mengira budaya asalnya. Humaid boleh merubah lembaran kertas yang rata ke dalam bentuk arca yang menarik melalui teknik lipatan dan ‘Sculpting’.

“Saya mula menggamalkan seni ini kira-kira dua bulan yang lalu selepas saya menghabiskan masa yang sangat panjang untuk mencari dan mengetahui lebih dalam akan butirannya,” kata Humaid kepada Xinhua. “Saya cuba untuk mempamerkan seni yang agak sedikit berbeza dengan menggunakan Bahasa Arab kerana Bahasa Arab adalah bahasa saya malah saya tidak pernah mendapati mana-mana kata atau huruf Arab dalam seni Origami,” jelasnya kepada media.

Lazimnya, Humaid mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan satu lipatan kertas di rumahnya di Kem Pelarian Nusseirat di tengah Gaza. – Xinhua

Origami adalah seni lipatan kertas yang sering dikaitkan dengan budaya Jepun. – Xinhua

Memerlukan kreativiti dan masa

Humaid turut menambah bahawa seni lipatan kertas ini memerlukan banyak masa dan kecekapan. Humaid sangat suka menggunakan buku-buku lama disebabkan warna yang sudah kuning di mana warna itu lebih baik dan menonjol berbanding kertas putih yang baharu.

“Saya menggunakan program reka bentuk komputer untuk membuat draf perkataan atau logo Arab terlebih dahulu,” katanya. Untuk melengkapkan setiap reka bentuk memerlukan jumlah kertas yang banyak, kadangkala sebanyak 300 helai.

Humaid telah membuat satu kemajuan dalam menguasai seni Origami dan kini dia boleh membuat satu struktur reka bentuk dalam masa lima jam sahaja di mana sebelum ini dia mengambil masa lebih daripada 15 jam untuk menyelesaikannya.

Seperti kebanyakan anak muda Palestin, Humaid menderita akibat pengangguran, sehingga menyebabkan dirinya memanfaatkan kemahirannya untuk mencari sumber pendapatan kewangan sekali gus membantu keluarganya yang lain. Harga hasil seni Humaid adalah antara 20 dolar AS hingga 50 dolar.

Sekatan yang tinggi

Jalur Gaza telah diletakkan di bawah sekatan Israel yang ketat sejak pergerakan Hamas Islam merampas wilayah itu dengan kekerasan setelah mengarahkan pasukannya setia kepada Presiden Mahmoud Abbas pada tahun 2007. Sekatan ini telah mendorong 2 juta penduduk di Gaza mengalami kemerosotan ekonomi yang teruk sehingga mencapai 53 peratus pada tahun 2017 berbanding 37 peratus pada tahun 2011.

Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, pengangguran di Semenanjung Gaza berjumlah 43.9 peratus, berbanding dengan 17.9 peratus di Tebing Barat. Humaid baru-baru ini telah menerima tempahan dari dalam dan luar jalur Gaza untuk membuat struktur kertas lipatan itu dalam Bahasa Arab dan Inggeris serta logo untuk syarikat.

Dia menggunakan laman media sosial untuk mempromosikan peniagaannya dan jualannya. Tetapi dia turut menghadapi beberapa halangan, terutamanya kekurangan kesedaran komuniti tentang jenis seni dan kekurangan buku-buku lama yang dia perlukan untuk tugasannya.

Krisis gangguan kuasa di Semenanjung Gaza, telah berlangsung selama beberapa tahun, merupakan satu lagi halangan bagi Humaid, yang bercita-cita untuk menjadi terkenal sama ada di dalam negeri mahupun di pentas antarabangsa malah dikenali sebagai artis seni yang terkenal. – Xinhua