Minat Vivian Tham dalam serangga sudah berputik sejak dari kecil dan wanita berusia 29 tahun itu kini telah menjadikannya sebagai satu hobi untuk mengawet serangga dan hidupan liar yang telah mati.
Dia mula menjual seni ciptaannya dalam talian pada Jun 2020. Apabila perniagaannya menerima sambutan menggalakkan, Vivian menubuhkan Black Crow Taxidermy & Art pada Oktober tahun lalu.
Taksidermi, atau seni mengawet, merupakan titik pertembungan di antara sains, alam dan seni.
Vivian, warga Malaysia, tamat pengajian dari Universiti Malaysia Sarawak dengan ijazah sarjana muda dalam zoologi. Dia meneruskan pengajian dalam ijazah sarjana dalam patologi di universiti itu, dan bekerja dalam industri fesyen runcit selepas itu.
Seorang pencinta haiwan semenjak kecil, Vivian risau dia tidak mempunyai peluang untuk bekerja dengan haiwan. “Saya enggan melepaskannya begitu sahaja,” katanya, merujuk kepada minatnya dalam bidang tersebut. Ketika masih kecil, dia bercita-cita menjadi doktor haiwan, tetapi apabila sudah dewasa, dia memilih bidang mengawet haiwan.
“Sudah ada ramai doktor haiwan di Singapura, tetapi tidak ada ahli taksidermi. Dan saya suka bekerja sendirian,” kata Vivian, yang menetap di Singapura.
Dia belajar cara-cara mengawet haiwan semasa kelas zoologi dan ketika bekerja sebagai pelatih di Muzium Negara Malaysia.
Antara haiwan dalam peti sejuk bekunya adalah hamster dan burung bayan.
Beberapa pemilik haiwan peliharaan akan memberinya haiwan mereka yang sudah mati untuk diawet.
“Di Singapura, kami biasanya mempunyai upacara pembakaran. Maka taksidermi menawarkan pilihan baharu untuk pencinta haiwan untuk mengawet haiwan kesayangan mereka,” jelas Vivian.
Dia adalah satu-satunya ahli taksidermi yang menyediakan perkhidmatan sedemikian untuk haiwan peliharaan di Singapura. Kos perkhidmatan adalah di antara $300 hingga $2,000.
Untuk mengawet haiwan, dia perlu membuang kulit, organ dalaman dan tulang, mengawet kulit dan seterusnya mencantumkannya semula.
Proses ini mungkin tidak disukai sesetengah orang, namun bukan Vivian.
Dia berusia empat tahun apabila dia pertama melihat jenazah – moyangnya diawet dalam keranda dengan ais kering. “Perasaan saya pada masa itu adalah dia akan bangun dan segala-galanya akan kembali seperti sedia kala.”
Membesar di Ipoh, Malaysia, dia biasa melihat haiwan yang mati dilanggar kereta. Pernah sekali ibunya terlanggar seekor ular. Vivian melihat ular itu dan berfikir, “Bagaimanakah rupa dalam badannya?”
Spesimen pertama Vivian merupakan seekor burung gagak hitam, sempena nama studionya. Ibunya terjumpa burung itu di atas tanah semasa berjalan-jalan dan memberikannya kepada Vivian. Burung awet itu telah dijual sejak itu.
“Saya tidak menggalakkan orang mengambil haiwan mati dari tanah, kerana kita tidak tahu sama ada ia mempunyai penyakit.”
Burung kegemarannya ialah burung pekaka, dan dia telah lama teringin mengawet burung berwarna terang itu. Akhirnya dia menerima seekor burung pekaka putih daripada ibunya, yang didapati mati di tepi jalan di Yishun.
Mencipta semula mata merupakan bahagian paling penting dalam proses taksidermi. Kelopak mata perlu nampak seperti asal – burung yang comel tidak boleh kelihatan bengis, dan burung helang tidak boleh nampak menggelikan hati. Mata yang berlainan warna dan saiz ditempah khas oleh Vivian sendiri.
“Burung pekaka ini merupakan projek kesayangan saya,” kata Vivian, ketika dia memberikan sentuhan akhir kepada sayap burung itu.
Burung senang diawet kera-na ia mempunyai kulit lebih nipis, sementara ular pula amat mencabar kerana ia mempunyai banyak tulang, katanya.
Projek taksidermi paling unik dan mencabar setakat ini adalah bari-bari yang mati, didapati dalam beg buah-buahan yang diterimanya. Kesemua spesimen Vivian sudah mati sebelum dia memulakan kerjanya.
“Saya pasti menolak sebarang haiwan yang masih hidup, atau mana-mana haiwan yang dibunuh hanya untuk proses taksidermi,” ujarnya.
Dia menerima banyak burung, hamster, anak kucing dan musang – kesemuanya mangsa kemalangan jalan raya atau yang telah mati secara semula jadi.
Penggemar serangga juga memberikannya serangga mereka untuk diawet.
Vivian memilih spesimennya dipamerkan secara sederhana dan ringkas, meletakkannya dalam bingkai dan kubah, yang membenarkan kecantikan haiwan tersebut kelihatan menonjol. Kerja seninya yang paling istimewa adalah rama-rama, serangga dan rangka tulang dalam bingkai gambar.
Kerja seninya dipaparkan dalam pameran solo pertamanya di Galeri UltraSuperNew di Jalan Besar pada Oktober.
Pameran bertemakan Halloween itu menampilkan kerja seninya daripada tulang haiwan eksotik kepada taksidermi cimera – bahagian serangga berlainan yang diatur secara kreatif dan dicantum bersama.
Bagi mereka yang suka mengharungi cabaran, boleh mendaftar untuk bengkel pembedahan atau diseksi.
Pelajar belajar cara-cara membedah katak kuak Amerika, proses menguliti dan anatomi-nya. Kulit katak kuak diawet dengan garam campuran.
Selain itu, Vivian juga menganjurkan ceramah pendidikan untuk pelajar dan bekerjasama dengan syarikat yang ingin hadiah ditempah khas. Dia berasa puas hati apabila orang menghargai apa yang dilakukannya dan berharap dapat membuka sebuah muzium taksidermi. – ANN/The Straits Times