Seni silat diiktiraf UNESCO

KUALA LUMPUR,  8 APRIL – Pengiktirafan silat sebagai warisan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah mengangkat martabat seni mempertahankan diri negara di persada antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd Yusop, ketika ditemui Bernama, menyifatkan pengiktirafan yang diperoleh tahun lalu itu membantu mempromosikan kehalusan seni persilatan Melayu kepada dunia.

“Hasilnya, silat yang juga merupakan seni mempertahankan diri rasmi negara yang menggambarkan ketelitian seni, budaya dan warisan Melayu kini semakin berkembang di negara Eropah, malah beberapa organisasi silat sudah mula ditubuhkan di sana.

“Sudah ada di negara lain terutamanya negara Eropah dan Amerika, dan mereka juga telah menubuhkan organisasi silat,” katanya.

Namun, katanya, silat yang diamalkan di luar negara tidak terikat dengan ajaran dan tatatertib yang sebagaimana diamalkan di Malaysia.

“Ini sememangnya satu impak positif yang kita mahukan supaya silat terus dikenali dan diamalkan bukan sahaja di Nusantara ini malah seluruh dunia, agar seni warisan kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pelbagai lagi seni mempertahankan diri dari negara lain,” katanya. – Bernama