HONG KONG – Hanya bertentangan dengan pintu masuk ke pasar malam yang dipenuhi dengan cahaya neon, kelihatan salah seorang pengukir jubin mahjung yang masih aktif di Hong Kong sedang mengukir dua watak China untuk nombor 8,000 di atas akrilik.
Dengan menggunakan pisau di tangan kanannya, Cheung Shun-King memusingkan jubin tersebut untuk memotong bahagian yang lain. Dari semasa ke semasa, dia secara perlahan-lahan meniup serpihan-serpihan ukiran tersebut.
Cheung merupakan antara artisan kraf tangan yang masih aktif menghasilkan jubin mahjung, permainan atas meja yang sangat terkenal di selatan China, Hong Kong dan Taiwan. Artisan berusia 65 tahun itu mempercayai bahawa terdapat hanya tiga atau empat artis seni mahjung yang masih tinggal di Hong Kong. Cheung terus mencuba untuk memulihkan minat tradisi itu dengan mengadakan bengkel bagi menunjukkan bagaimana jubin mahjung itu dihasilkan.
“Bagi jubin mahjung ukiran tangan, apabila anda lihat dengan penuh teliti, anda akan dapat melihat perbezaan antara jubin-jubin tersebut,” katanya di dalam kedainya, yang berkeluasan sekitar 100 kaki persegi di tingkat bawah sebuah kedai lama.
“Ini kerana saya mengukir jubin ini satu demi satu, melengkapkannya dengan menggunakan acuan. Kadang-kadang, kekuatan ukiran yang saya gunakan adalah berbeza-beza tergantung kepada situasi seperti ketika saya sedang makan atau sedang berbual-bual,” tambah lelaki itu kepada media.
Pada waktu yang tertentu
Lazimnya mahjung dimainkan pada Tahun Baharu Cina atau perhimpunan keluarga, permainan mahjung telah menjadi simbol persahabatan dan ikatan kekeluargaan. Beberapa buah restoran China turut menyediakan meja dan set mahjung kepada pelanggan yang mengadakan majlis jamuan perkahwinan atau sambutan hari lahir.
Hong Kong pernah dibanjiri dengan bilik khas untuk bermain mahjung di mana orang ramai boleh bermain dengan sesiapa sahaja yang tidak dikenali untuk wang namun kini hanya tinggal sedikit sahaja yang mengamalkannya.
Setiap set mahjung mempunyai sekitar 144 jubin dengan ukiran yang berbeza-beza seperti itik, bunga dan batang buluh. Empat pemain akan duduk di sebuah meja dan menyeret keping jubin yang diterbalikkan di atas meja.
Kemudian jubin itu disusun dalam satu barisan seperti kad tangan, sebelum permainan dimulakan. Kemudian mereka secara bergilir-gilir akan mencabut dan membuang jubin sehingga seorang pemain berjaya membentuk kombinasi yang layak untuk menang.
Cheung mengambil masa selama satu minggu untuk membuat satu set jubin mahjung dan lazimnya dia akan mengukir hanya pada waktu malam, ketika dia tidak melayani pelanggan dan menjalankan tugas. Selepas sahaja ukiran jubin, dia akan membersihkan dan mencat jubin itu dengan menggunakan tiga warna seperti hijau, biru dan merah. Langkah terakhir ialah dengan menggosok dan menghapuskan cat kering yang berlebihan.
Sesuatu yang bernilai
Satu set mahjung akan dijual sekurang-kurang $400, hampir sepuluh kali ganda harga jubin buatan kilang. Dia memulakan bengkel mengukir jubin mahjung baru-baru ini dan berusaha untuk menunjukkan bagaimana dia mengukir jubin, justeru para peserta akan dapat mempelajari kemahiran asas seperti postur yang tepat untuk duduk dan memegang pisau ukiran. Kemudian dia pergi mengelilingi bilik bengkel tersebut satu demi satu untuk memeriksa kemajuan para peserta.
“Apabila anda mencubanya, anda akan tahu dan melihat bagaimana kemahiran tepat yang diperlukan hanya untuk membuat beberapa langkah dan bagi mendapatkan sesuatu yang begitu indah daripada kemahiran itu,” kata salah seorang pelajar, Adrian O’Sullivan, seorang guru sekolah rendah yang berusia 28 tahun kepada media.
Cheung tidak mengharapkan mereka untuk menjadi pakar pemahat atau pengukir. Di akhir kelas bengkel, dia akan mengetengahkan jubin yang dibuat oleh para pelajar supaya mereka akan dapat membawa pulang ukiran jubin yang mereka hasilkan.
“Sebelum ini terdapat sekitar 10 buah kedai mahjung di sepanjang jalan ini,” katanya. “Ketika itu, ia merupakan perniagaan yang berkembang pesat malah ia tidak membangkitkan sebarang masalah walaupun terdapat ramai pengusaha perniagaan mahjung,” tambah Cheung.
“Sekarang, hanya terdapat dua sahaja kedai mahjung di kawasan ini dan perniagaan tidak memberangsangkan kerana generasi muda tidak bermain mahjung. Lazimnya, mereka hanya bermain di telefon bimbit mereka sahaja,” tambah Cheung kepada media. – AP