KUALA LUMPUR – Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan skim insurans bagi melindungi ahlinya.
Presidennya, Zed Zaidi, berkata menerusi skim berkenaan persatuan terbabit mewujudkan perlindungan asas bagi membantu golongan artis dari segi perubatan.
Begitupun katanya, artis perlu mencari alternatif lain sekiranya mereka mahukan skim perlindungan lebih besar untuk kos perubatan mereka kelak.
“Insurans ini adalah untuk kemalangan di lokasi dan membabitkan kecacatan kekal. Kita wujudkan skim insurans ini sebab golongan seni, terutama artis, tidak dilindungi PERKESO kerana SENIMAN bukanlah bersifat majikan. Malah, insurans ini juga melindungi rawatan surgeri kosmetik selain artis yang diculik. Kalau seseorang artis itu hilang selama tujuh bulan dan gagal ditemui, maka kita akan anggap dirinya sudah tiada serta layak menerima RM10,000,” katanya.

Setiap ahli yang berdaftar dengan persatuan itu, katanya, secara automatik layak dilindungi insurans berkenaan, seterusnya mendapat kemudahan perubatan seperti termaktub dalam polisinya.
“Apabila ahli membayar yuran pendaftaran atau memperbaharui keahlian, secara automatik mereka akan dilindungi insurans. Bagi artis yang berusia 55 tahun ke atas pula, mereka memang tidak dikenakan yuran keahlian. SENIMAN bagaimanapun akan menampung insurans mereka. Bagi ahli berusia 71 tahun ke atas, mereka hanya layak menerima separuh daripada jumlah insurans itu berikutan had umur bagi perlindungan insurans hanya daripada tiga hingga 70 tahun,” jelasnya.
Ditemui pada majlis pelancaran skim berkenaan, Zed berkata, program terbabit juga adalah bagi memberikan pendedahan kepada ahlinya mengenai kepentingan memiliki insurans.