Senjata nuklear: China selar laporan Pentagon

WASHINGTON, 4 NOV – Amerika Syarikat (AS) mendakwa China mengembangkan senjata nuklearnya lebih pantas daripada yang dijangkakan, namun Beijing menyelar laporan tersebut dengan menyifatkan Pentagon sengaja membesar-besarkan perkara itu.

AS telah mengisytiharkan China sebagai kebimbangan keselamatan utamanya pada masa depan, selepas Beijing berusaha membangunkan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) menjadi ‘pasukan bertaraf dunia’ menjelang 2049.

Laporan diterbitkan Pentagon semalam mendedahkan, Republik Rakyat China (PRC) dijangka mampu menyediakan 700 kepala peledak nuklear menjelang 2027 dan boleh melebihi 1,000 menjelang 2030, iaitu dua setengah kali ganda saiz diramalkan Pentagon setahun lalu.

Sebagaimana dua kuasa nuklear terkemuka seperti AS dan Rusia, China sedang membina ‘triad nuklear’ dengan keupayaan untuk menghantar senjata nuklear dari peluru berpandu di darat, udara dan melalui kapal selam.

Menurut penilaian menerusi laporan tahunan Pentagon kepada Kongres berhubung perkembangan ketenteraan China, Beijing turut ‘membina infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong pengembangan secara meluas kuasa nuklearnya’.

Beijing bagaimanapun menolak kebimbangan AS terhadap perkembangan ketenteraannya, menuduh laporan Pentagon hari ini yang dikatakan bertujuan untuk memperbesar-besarkan ancaman nuklear China’.

“Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan AS, sebagaimana laporan sama sebelum ini, mengabaikan fakta dan sarat dengan prejudis,” kata jurucakap Kementerian Luar Negerinya, Wang Wenbin. – AFP

Gambar fail orang ramai mengibarkan bendera ketika perarakan kenderaan tentera membawa misil balistik DF-41 semasa sambutan ulang tahun ke-70 pengasasan Komunis China di Beijing pada 1 Okt 2019. Pentagon mengeluarkan laporan kelmarin bahawa China mengembangkan armada nuklearnya lebih pantas daripada yang dijangkakan, namun China menyelar laporan itu yang menurutnya cuba diperbesar-besarkan AS. – AP