HIJAU yang melambangkan warna alam, dedaunan, kesegaran, ketenangan, harmoni, alami, sejuk, adalah antara warna yang menjadi pilihan trend tahun ini oleh Pantone Colour Institute.
Hijau yang dipilih menggabungkan rona hijau dan kekuningan yang diambil daripada kehijauan tanaman dan pepohonan alam. Mungkin kita lebih mengenalinya dengan istilah ‘hijau daun atau tumbuhan’.
Hijau tumbuhan dianggap mewakili keindahan alam semula jadi, malah turut menjadi simbol ‘kelahiran’ atau keinginan besar dalam diri seseorang yang secara tidak langsung berkait rapat dengan azam baru pada awal tahun.
Sudah tiba masanya sensasi warna kehijauan tumbuhan ini perlu diserlahkan yang mana ia juga lebih menarik apabila turut disokong dengan warna lembut lain seperti putih, rona tanah dan kuning pastel.
Ia juga indah jika disatukan dengan hiasan dalaman rumah jenis desa yang berasaskan elemen-elemen semula jadi, dengan menggabungkan dengan tanaman atau bunga segar yang membawa pemandangan terbaik dalam hiasan dalaman.






































