Sentiasa berikhtiar dan bersabar harungi cabaran pandemik

Oleh Yusrin Junaidi 

Ketika dunia dan tidak terkecuali negara kita masih dibelenggu dengan penularan COVID-19, pastinya banyak cabaran dihadapi pada waktu ini kerana secara tiba-tiba gaya hidup berubah 360 darjah dalam sekelip mata.

Sepanjang tempoh ini juga, ada yang diuji daripada segi kewangan seperti kehilangan mata pencarian atau sesetengahnya juga menerima ujian dalam bentuk penyakit apabila disahkan positif virus berkenaan. Namun walau apa juga ujian yang melanda, supaya kita sentiasa bersangka baik dengan Allah, memperbanyakkan doa, berikhtiar, bertawakal dan bersabar.

“Sebagai umat Islam yang beriman, kita hendaklah sentiasa bersabar dan jangan lalai daripada berikhtiar dan berdoa. Dalam mengharungi suka duka kehidupan, marilah kita berpandukan firman Allah ayat 155 dan 156 dalam Surah Al-Baqarah yang mafhumnya:

“Dan sesungguhnya Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan (kerana Kami hendak melihat sama ada kamu sabar atau tidak atas ujian itu). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Ayat : 155)

“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu musibah mereka berkata: Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali.” (Ayat : 156)

Sebagaimana yang diketengahkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, pada 30 Mac 2020 semasa di Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19.

Gambar fail Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada 30 Mac 2020 semasa Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19.
Walau apa juga ujian yang melanda, kita sentiasa bersangka baik dengan Allah.
Di dalam berikhtiar, jangan pula kita lupa peranan doa untuk memohon dipermudahkan segala urusan seharian dan mengisinya dengan keberkatan dan kebaikan.

Di dalam Terapi Kejiwaan yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama bertajuk Berikhtiar atau Berusaha Dalam Suasana Pandemik ada menyentuh beberapa perkara. Dalam Terapi Kejiwaan berkenaan, menjelaskan pengertian ikhtiar yang mengikut kamus Bahasa Melayu bererti pilihan, pertimbangan, kehendak atau pendapat yang terbaik. Ia juga bermaksud daya, upaya dan juga berusaha. Hakikatnya, orang yang berikhtiar ialah mereka yang berusaha dengan sedaya upaya dengan memilih keputusan yang terbaik dari bermacam-macam pilihan yang ada.

Menurut hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah meriwatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: (Hadis Riwayat Muslim)

“Mukmin yang kuat lebik baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Namun, keduanya tetap memiliki kebaikan. Bersemangatlah atas hal-hal yang bermanfaat bagimu. Mohonlah pertolongan kepada Allah, jangan engkau lemah, jika engkau tertimpa suatu musibah, maka janganlah engkau katakan: ‘Seandainya aku lakukan demikian dan demikian.’ Namun katakanlah: ‘Inilah takdir Allah, apa yang Dia kehendaki pasti terjadi.”

Ikhtiar dan doa

Di dalam berikhtiar, jangan pula kita lupa peranan doa dalam berikhtiar. Insya-Allah dengan doa, Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dan mengisinya dengan keberkatan dan kebaikan.

Daripada Salman Al-Farisi meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: (Hadis Riwayat At-Tarmizi)

“Tidak ada yang dapat menolak Qada kecuali doa, dan tidak ada yang dapat menambah (kualiti) usia kecuali ketaatan.” Daripada Ali bin Abi Talib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: (Hadis riwayat Abu Ya’la). “Doa adalah senjata seorang mukmin dan tiang (pillar) agama serta cahaya langit dan bumi.

Bertawakal

Apabila kita berikhtiar dengan berusaha semampunya, maka bertawakal dan berserah dirilah kepada Allah, kerana semuanya ini adalah atas kehendakNya jua. Jika Allah tidak mengkehendaki maka tidak akan berlaku.

Namun jika Allah mengkehendakinya, hal-hal yang tampak susah dan sulit sekalipun akan menjadi lancar dan mudah. Dalam firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang tafsirnya:

“Kemudian apabila engkau telah berazam (untuk berbuat sesuatu sesudah bermesyuarat) maka bertawakallah kepada Allah (Melaksanakannya). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal.”

Ikhtiar waktu pandemik

Di kala musim pandemik ini, tetapkanlah hati untuk tetap bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan yang dilaksanakan. Bekerja keraslah dan ja- nganlah berputus asa dan mudah menyerah. Di samping itu iringi pula penat lelah kita itu dengan doa, bersabar, syukur dan redha dengan ketentuan Allah di samping suburkan hati yang bersangka baik dengan tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang. Kemudian, taati dan bantulah ulil amri dengan mematuhi panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menyentuh mengenai SOP pula, mematuhi SOP adalah juga ikhtiar dalam sama-sama mencegah penularan COVID-19,bersama-samalah kita juga terus-menerus berikhtiar mematuhi SOP dan protokol kesihatan serta janganlah kita leka dan lalai dari mengikuti nasihat-nasihat yang sangat berguna khususnya daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Ini termasuklah komitmen kita memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, menjaga penjarakan fizikal, rehat yang mencukupi, makan makanan yang halal lagi baik (Thayyib) dan sentiasa berdoa serta tawakal kepada Allah SWT.

Hikmah ikhtiar

Dalam kita berikhtiar sudah tentu ada hikmah di sebaliknya. Selangkah kita berikhtiar, maka adalah lebih daripada seribu langkah tanpa ikhtiar. Adapun ikhtiar itu amat sarat dengan hikmah. Dengan ikhtiar, maka hilanglah rasa malas, murung dan keluh-kesah. Bahkan ia mampu menumbuhkan harapan dan motivasi untuk terus berusaha, dan inilah tanda orang yang beriman.

Dengan ikhtiar, kita mulai bergantung harap sepenuhnya kepada Allah SWT dalam apa jua tindak tanduk kita sekaligus mengurangkan kebergantungan kita kepada selainNya. Adapun ikhtiar itu adalah amat luas cakupannya. Ia me rangkumi usaha fizikal seperti mencari rezeki yang halal dan mematuhi peraturan, usaha mental seperti mencari ilmu dan pengalaman, usaha rohani seperti beribadah, berdoa, bertawakal dan bermacam-macam lagi usaha. Usaha-usaha berikut jika diadunkan dengan mematuhi syariat Allah SWT, ia bukan sahaja merupakan amalan yang terpuji lagi membuahkan pelbagai kebaikan dunia bahkan juga kebaikan di akhirat kelak yang kekal abadi, bukan sahaja kebaikan untuk diri kita, bahkan juga kebaikan kepada keluarga, masyarakat dan negara sekali gus sebagai jalan untuk memperkuat ke imanan, ketakwaan dan tawakal.