Berikut adalah Khutbah Hari Raya Aidilfitri 1439H/2018M yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, pada hari Jumaat, 1 Syawal 1439 Hijrah bersamaan dengan 15 Jun 2018 Masihi di Masjid Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.
SAUDARA-SAUDARA seagama yang dirahmati Allah!
Kita baru sahaja keluar dari bulan Ramadan. Di dalam Ramadan, kita adalah jadi orang-orang baik/orang-orang shalih belaka. Kita berpuasa penuh, Alhamdulillah.
Kita juga bertadarus Al-Quran, banyak membaca Al-Quran sehingga khatam. Bersembahyang Terawih, Qiamullail – bangun tengah malam bertahajud dan banyak bersedekah. Inilah yang berlaku di sepanjang Ramadan itu. Ramadan Karim, Ramadan yang mulia, adalah benar-benar mencorakkan kita menjadi orang shalih.
Dan sekarang, kita berada pula dalam bulan Syawal, bulan selepas Ramadan. Dalam bulan ini, umat Islam dikurniakan dengan nikmat Hari Raya, dengan kebebasan dari beberapa sekatan tertentu ketika berpuasa.
Namun, kita perlu juga ingat, bahawa dengan berakhirnya Ramadan, maka belenggu-belenggu syaitan pun terbuka dan pecah, lalu keluarlah mereka semula mencari dan memburu mangsa-mangsanya. Siapakah mangsa para syaitan? Iaitulah tidak lain, adalah kita, anak cucu Nabi Adam ‘Alaihissalam.

Jadi sewajarnya kita mesti berawas, berawas daripada makhluk durjana ini. Kita berawas, terutama pada saat-saat, semua orang sibuk, disibukkan oleh suasana berhari raya. Dari pagi sampai ke malam, suasana itu berterusan dibungkus oleh senda-gurau dan kesukaan, seperti tiada limitnya.
Adalah tidak salah untuk bersuka ria, tetapi awas! Janganlah sampai sehingga ke tahap lalai dan lupa. Kerana lalai dan lupa itu 100 peratus “keduniaan”, sementara sedar dan ingat pula adalah lambang “keakhiratan”.
Dua-dua adalah tidak sama, dunia dan akhirat amat jauh berbeza. Berfirman Allah Subahanahu wa Ta`ala, di dalam surah Al-An`am ayat 32 yang tafsirnya, “Dan tiadalah kehidupan dunia itu melainkan semata-mata permainan dan gurau senda belaka. Sesungguhnya negeri Akhirat juga yang lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Jadi kita wajar khuatir, jangan sampai Hari Raya memesongkan kita dari amal taqwa. Jangan sampai Hari Raya menghumbankan kita ke dalam perangkap keduniaan yang namanya adalah permainan dan gurau senda semata-mata.
Salah satu tanda orang terperangkap itu, misalnya, kerana terlalu asyik dan sibuk dengan Hari Raya, maka orang, mungkin saja sampai terlepas waktu sembahyang, sampai tidak lagi menghiraukan sembahyang.
Ah ini adalah musibah, bukan musibah kecil, tetapi musibah besar. Hari Raya bukanlah “tiket” untuk kita mengabaikan kewajipan terhadap Allah.
Hari Raya adalah hari suci, hari mulia, hari untuk membesarkan Allah, bukan hari untuk lari daripada Allah. Hari Raya adalah wadah untuk menambahkan pahala, bukan untuk menghakis pahala.
Seseorang pernah bertanya kepada Hassan al-Bashri Rahimahullah, seorang ulama besar: “Wahai Hassan, apakah Hari Raya itu bagi tuan?” Menjawab Hassan: “Hari Raya bagi saya ialah, apabila pada hari itu saya tidak melakukan sebarang dosa atau kedurhakaan terhadap Allah.”
Ah, ini Hari Raya bagi Hassan. Adapun Hari Raya, sehingga sampai meninggalkan sembahyang atau terlepas waktu sembahyang, itu bukan Hari Raya bagi Hassan, tetapi hari musibbah, hari bencana, hari mendapat murka Allah, hari mengundang azab Allah Ta`ala.
Bencana jangan dicari, azab Allah jangan di undang.
Kita umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ini perlu sedar, bahawa bencana atau azab itu, sebenarnya adalah sentiasa hampir kepada kita, tetapi Allah dengan segala sifat kasih sayangNya, telah menyediakan untuk kita dua “penjamin”, yang menjamin kita ini tidak akan ditimpa oleh azab atau bencana. Apakah penjamin itu?
Penjamin pertama Allah berfirman di dalam surah al-Anfal ayat 33 yang tafsirnya, “Dan Allah sekali-kali tidak akan menyeksa atau membinasakan mereka (umat engkau, wahai Muhammad), selama mana engkau ada bersama-sama dengan mereka.”
Ya, inilah jaminan pertama, iaitu Nabi Muhammad Sallallahu `Alaihi Wasallam. Selama mana baginda itu masih hidup, maka selama itulah umat baginda tidak akan dibinasakan. Tidak akan disentuh oleh bencana.
Jaminan kedua, Allah berfirman seterusnya dalam surah al-Anfal ayat 33 yang tafsirnya, “Dan Allah sekali-kali tidak akan menyeksa atau membinasakan mereka (umat Nabi Muhammad), selama mana mereka itu beristighfar (berzikir memohon ampun) kepada Allah.”
Nah! Sila perhati kedudukan ayat ini. Penjamin pertama kita iaitu Nabi Muhammad Sallallhu ‘Alaihi Wasallam, baginda telah pun tiada.
Baginda sudah wafat, bererti penjamin atau jaminan pertama ini telah pun ditarik oleh Allah. Maka yang tinggal cuma Istighfar satu-satunya. Guarantor pertama telah ditarik, tidak lagi berfungsi selaku Guarantor itu.
Hanya yang masih terus diizinkan oleh Allah untuk jadi Guarantor ialah Istighfar sahaja satu-satunya. Inilah saja yang tinggal itu untuk jadi penyelamat kita. Makanya kita janganlah cuai, janganlah lupa ini.
Jangan jauhkan diri dari Istighfar, dari zikir, dari ingat kepada Allah.
Dengan wafatnya Nabi, nasib umat Islam tidak ubah seperti telur di hujung tanduk, bila-bila sahaja boleh hancur berantakan.
Hanya Istighfar jua, hanya zikir jua dan hanya sembahyang jua satu-satunya yang masih tinggal untuk menyelamatkan kita.
Kerana itu ada riwayat menyebut, bahawa Sayyidina `Ali Karramaallahu wajhah, sebaik-baik sahaja Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam wafat, maka beliau itu dilihat orang, sentiasa melebihkan ibadatnya, sentiasa melebihkan Istighfarnya, sentiasa melebihkan amal taqwanya.
Kalau dalam masa hayat Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, beliau sembahyang malam hanya 8 rakaat, tetapi setelah wafat Nabi, ditambahnya sembahyang itu menjadi 12 rakaat. Begitu juga, kalau biasanya beliau bersedekah 1 dirham, tetapi apabila wafat Nabi, ditambahnya sedekah itu menjadi 2 dirham.
Demikian itulah dengan yang lain-lain. Bacaan Qur’annya, Istighfarnya, puasa sunatnya, semua ditambah dan ditambah.
Ini, menarik perhatian orang ramai, lalu mereka pun bertanya, “Wahai Ali, kami melihat tuan melebihkan ibadat dan Istighfar setelah wafat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?”
Menjelaskan Sayyidina Ali, “Asalnya kita ini dikuriakan (oleh Allah) dua penjamin untuk melepaskan kita daripada azab atau bencana (iaitu) Rasulullah dan Istighfar.
Tetapi setelah wafat baginda Rasulullah, maka penjamin itu hanya tinggal satu-satunya sahaja lagi iaitu Istighfar, kerana itulah saya melebihkan ibadat, sehingga dengan itu (semoga) Allah mengangkat atau menyelisihkan bala bencana daripada kita.”
Khutbah Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijrah yang kedua
Wahai kaum Muslimin,
Merujuk balik riwayat Sayyidina `Ali Karramallahu Wajhah di atas tadi, nyatalah, bahawa keselamatan kita umat Nabi Muhammad ini, cuma bergantung bulat-bulat kepada Istighfar semata-mata, kepada banyak memohon ampun kepada Allah, kepada banyak berzikir mengingat Allah, kepada banyak melakukan amal-amal takwa, bukannya bergantung kepada banyak harta, atau banyak hiburan, atau banyak berseronok dan gurau senda, bukan! Bahkan bukan juga bergantung kepada ramainya bilangan kita dan seumpamanya.
Ini semua bukan prasyarat untuk menyelamatkan umat, malah sebaliknya, menjadi punca atau sebab kepada kebinasaan dan kehinaan.
Ini, dibenarkan lagi oleh satu riwayat yang sahih: Pada zaman Khalifah Osman bin ‘Affan Radhiallahu `Anhu, telah berlaku satu kejadian yang cukup membanggakan, di mana pada ketika itu umat Islam untuk julung-julung kalinya memiliki kapal perang.
Lalu kapal ini pun bergerak mengharungi lautan Mediterranean untuk membuka beberapa buah pulau di sekitarnya.
Ada tiga buah pulau yang berjaya dibuka: Pulau Tikrit, Pulau Rodos dan Pulau Kibris. Ini tidak syak lagi adalah satu kemenangan yang wajar disambut dengan perasaan penuh bangga dan gembira.
Tetapi tanpa disangka-sangka, pada ketika umat Islam sedang menerima kemenangan ini, sahabat Abdul Rahman bin Jubair telah terserampak dengan sahabat Abu ad-Darda sedang menangis. Ya, Abu ad-Darda menangis.
Abdul Rahman bertanya, “Mengapakah engkau menangis, wahai Abu ad-Darda, sedang Allah telah mengurniakan kepada kita kemenangan?”
Menjawab Abu ad-Darda: “Ya benar, saya menangis, wahai Abdul Rahman! Bukankah penduduk 3 buah pulau ini adalah bangsa yang terkenal sangat kuat lagi gagah?
Tetapi setelah mereka itu banyak lalai dan banyak lupa kepada Allah, maka kita pun ditakdirkan dapat menguasai mereka. Dan inilah yang saya takutkan yang menyebabkan saya menangis, wahai Abdul Rahman, di mana nanti setelah lama kita berkuasa, kita juga akan dijangkiti oleh penyakit lupa, sebagaimana mereka itu lupa. Maka pada ketika itulah, akan tiba pula giliran kita untuk kehilangan atau dikuasai oleh orang lain.”
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar!
Abu ad-Darda bukan bercakap kosong, tetapi kata-katanya adalah benar. Ya, setelah berlalunya era sahabat ini, umat Islam, bukan sahaja kehilangan tiga buah pulau: Tikrit, Rodos dan Kibris atau Qobros, tetapi kehilangan lebih banyak lagi: Hilang Kaukasus, hilang Ural, hilang As-Sarkhal, hilang Siberia, hilang Turkestan, hilang Azerbaijan dan paling menyayat lagi, hilangnya Andalus, satu kawasan yang meliputi Asbania (Sepanyol) dan Portugal, yang dibuka oleh orang-orang Islam pada tahun 96 Hijrah dan kemudian dirampas oleh musuh pada tahun 898 Hijrah, bermakna, negeri atau bumi yang pernah bernama “Bumi Islam” ini sebelum dirampas oleh musuh, adalah ia berada dalam tangan orang-orang Islam selama 800 tahun lebih.
Ya, 800 tahun lebih menjadi milik orang Islam, tetapi setelah dirampas, bumi ini, Andalus, telah menjadi tanah perkuburan bagi warga Muslimnya, sehingga tidak lagi ada didapati walau satu lidah pun yang mengucapkan kalimah Ia Ilaha Illallah. Ya, sampai begitu sekali malapetaka menimpa umat Islam di bumi Andalus ini.
Apakah gerangan dosa umat Islam di Andalus, sehingga sejarah hitam ini berlaku? Mari, mari kita mengingat-ingat balik tangisan sahabat Abu ad-Darda yang menangis kerana takut, takut negeri atau negara yang dibuka dan diperintah oleh orang Islam akan tergadai atau dirampas oleh orang lain, manakala orang-orang Islam bersikap lalai dan cuai, ditambah miskin Istighfar, miskin zikir, miskin amal takwa, malah sebaliknya kaya dengan main-main, dengan berfoya-foya dan kaya dengan dosa terhadap Allah, di mana natijahnya, nikmat kemenangan, nikmat kekuasaan memiliki negeri atau negara itu akan ditarik balik atau ditukar menjadi malapetaka sebagaimana berlaku kepada umat Islam di Andalus dan bumi Andalus sendiri.
Ini tidak diragukan lagi adalah satu pengajaran yang amat berharga untuk direnungkan.

































