KOTA KINABALU, 16 Jan – Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman menyeru seluruh warga Armada bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memenuhi komitmen operasi sepanjang 2018.
“Warga Armada Timur perlu keluar dari kepompong lama. Kita perlu mempertingkatkan prestasi yang dicapai pada tahun lepas…dan untuk melonjakkan lagi prestasi itu kita perlu berubah daripada kebiasaannya,” katanya ketika berucap pada Majlis ‘Admiral On Deck’ di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Teluk Sepanggar dekat sini, hari ini.
Beliau berkata seluruh warga di Armada Timur perlu menyahut saranan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin untuk merealisasikan Program Transformasi TLDM 15 ke-5 pada tahun ini bagi mentransformasikan TLDM secara terancang dan menyeluruh.

Program Transformasi 15 ke-5 merupakan sebahagian daripada beberapa inisiatif yang dirancang untuk mencapai kecekapan penjimatan iaitu TLDM akan menggantikan kapal lama yang memerlukan kos operasi dan selenggaraan tinggi dengan kapal baharu yang lebih canggih serta kos operasi dan selenggaraan lebih rendah.
Sementara itu, Syed Zahiruddin berterima kasih kepada kerajaan kerana terus memberikan peruntukan untuk memastikan operasi Armada Timur berjalan lancar.
“Contohnya untuk tahun ini kerajaan telah memperuntukan RM20 juta untuk melaksanakan beberapa projek bagi kesejahteraan dan kebajikan pegawai dan anggota di Armada Timur,” tambahnya.
Terdahulu itu, seramai 41 pegawai dan 271 anggota Armada Timur telah mengadakan Perbarisan Ulung Tahunan 2018 dan seramai tujuh anggota menerima Pingat Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Malbatt 850-4. – Bernama