Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Feb – Sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja, Negara Brunei Darussalam memerlukan rakyat dan penduduk yang benar-benar beriman dan bertaqwa kerana kemajuan sesebuah negara itu bukanlah sekadar diukur dengan kekuatan ekonomi, bangunan-bangunan pencakar langit dan sebagainya.
Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini, menegaskan bahawa kemajuan sebuah negara juga adalah disebabkan pemimpin yang adil, penduduk yang beriman dan bertaqwa serta berpegang teguh dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah Rasulullah di mana kemajuan sebuah negara tidak akan bererti jika rakyat dan penduduknya hidup tanpa pedoman dan tidak berpegang teguh kepada ajaran agama Islam.
“Apabila hidup manusia tidak berpegang kepada ajaran Islam sudah tentu banyak kemungkaran dan kemaksiatan berlaku seperti minum arak, judi, curi, ragut, bunuh dan sebagainya yang mana akhirnya menghancurkan sebuah masyarakat, bangsa dan negara,” tegasnya lagi.
Khatib seterusnya menambah, para ulama menyatakan, ada beberapa langkah yang penting bagi setiap orang Muslim untuk menjadi orang yang bertaqwa antaranya mengingati Allah (Zikurullah) di mana mengingati Allah adalah jalan yang terbaik bagi menyebut, merawat hati atau jiwa manusia.
Selain itu, dengan sentiasa bertaubat memohon keampunan dan menyerahkan diri kepada Allah adalah sifat utama yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman, bertakwa, beramal soleh kepada Allah.
“Ini dapat menyedarkan kita dari terus melakukan dosa dan segala larangan Allah,” tambahnya.
Di samping itu, mendirikan sembahyang juga merupakan ibadah utama dalam kehidupan manusia yang boleh memperkuatkan keimanan dan ketakwaan serta memperoleh keredaan Allah.
“Mendirikan sembahyang fardu lima waktu dengan tertib dan khusyuk juga merupakan kekuatan rohani yang bertindak sebagai benteng bagi mencegah dari melakukan perkara keji dan mungkar,” tegasnya.
Khatib seterusnya menjelaskan, perasaan takut kepada Allah adalah salah satu dari sifat orang beriman di mana perasaan takut kepada Allah dapat mendorong seseorang untuk meningkatkan amal ibadat dan takut untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah.
Selain itu, muhasabah juga merupakan satu tindakan yang penuh teliti terhadap gerak geri yang dilakukan supaya tidak mendatangkan kemukaraan Allah.
Langkah-langkah untuk menjadi orang yang bertakwa juga adalah sifat sabar, tawaduk (rendah diri), istiqamah, takwakal dan sebagainya.
Khatib menjelaskan, dalam takwa itu terdapat kebahagiaan dan kebaikan yang tidak terhitung banyaknya antara kelebihan orang yang bertaqwa itu adalah sentiasa dalam pemeliharaan Allah.
Taqwa juga adalah sebagai penebus kesalahan dan mensucikan dosa, diselamatkan daripada seksa api neraka pada hari kiamat kelak, terpelihara daripada tekanan hidup, rezeki datang melimpah tanpa di duga dan sentiasa hidup berlapang dada, sentiasa di limpahi pahala yang tidak terhingga.
Orang yang bertaqwa jua dijanjikan oleh Allah diakhirat nanti untuk dimasukan ke dalam syurga serta mendapat kemuliaan di dunia dan di akhirat.
Rakyat dan penduduk yang bertakwa dan sentiasa mengerjakan perintah Allah, menjauhi perkara-perkara yang mendatangkan maksiat dan dosa serta sentiasa berusaha mencari keredahaan dan keberkatan dari Allah, pastinya negara akan beroleh keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.