Sentiasa berwaspada semasa fasa peralihan

Oleh Nurdiyanah R.

Bak kata orang Brunei, ‘ubaya-ubaya’ atau dalam erti kata lain berhati-hati, begitulah yang sebaiknya perlu disemai dalam diri semua lapisan masyarakat ketika meniti fasa peralihan dan endemik.

Segalanya akan menjadi sia-sia jika kita selaku masyarakat terus lalai dalam mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak berkepentingan. Hakikatnya, apa yang perlu dilakukan adalah menunjukkan sikap solidariti kita dalam sama-sama membendung penularan wabak ini demi saling melindungi di mana pun kita berada.

Ketika tanah air kita mula meniti ke fasa peralihan kurang dua hari lagi iaitu, 19 November ini, pelbagai kelonggaran secara peringkat-peringkat akan dilaksanakan yang sekali gus sebagai persediaan kita untuk menuju ke fasa endemik.

Tetapi perlu ditekankan untuk peringatan bersama, berjaya atau tidaknya segala langkah-langkah meniti dari satu fasa ke fasa seterusnya ini bergantung kepada kita semua selaku masyarakat di negara ini. Semuanya berada dalam genggaman kita sama ada mampu untuk memutuskan rangkaian wabak ini atau pun hanya buat seketika sahaja.

Suntikan vaksin bukanlah jaminan

Perlu kita ketahui juga, pengambilan suntikan vaksin bukanlah jaminan kita untuk tidak dijangkiti bahkan ia hanya mampu mengurangkan risiko jangkitan lebih serius. Oleh itu, dalam setiap gerak geri kita dalam meniti fasa peralihan ini tetap sentiasa berpandukan kepada segala SOP, di samping sentiasa memakai pelitup muka, mensanitasi dan kerap membasuh tangan serta menjaga kebersihan di sekeliling kita.

Salon kecantikan dan kedai gunting adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi, dan dihadkan kepada 50 peratus kapasiti tempat. – Agensi
Amalan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR aplikasi BruHealth serta melakukan pemeriksaan suhu badan akan menjadi amalan dalam norma baharu. – Gambar fail
Apabila sudah memasuki fasa peralihan nanti, saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) bukan saja dilaksanakan untuk kakitangan kerajaan saja malah sektor swasta digalakkan membuat ujian ART bagi kakitangan untuk mengawal penularan di tempat kerja. – Gambar fail
Sajian makanan yang hanya dibenarkan bagi acara-acara persendirian semasa fasa peralihan adalah hidangan yang dibungkus. – Agensi

Di mana pun berada, amalkan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR aplikasi BruHealth serta melakukan pemeriksaan suhu badan perlu menjadi amalan oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini.

Ujian saringan ART berkala

Apabila sudah memasuki fasa peralihan nanti, saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) bukan saja dilaksanakan untuk kakitangan kerajaan saja malah sektor swasta digalakkan membuat ujian ART untuk kakitangan bagi mengawal penularan di tempat kerja dan memastikan adanya pelan kelangsungan perniagaan (BCP) tertentu. Semua digalakkan untuk mengikuti apa yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membuat ujian ART kepada kakitangannya setiap dua minggu.

Begitu juga perkumpulan ramai di tempat-tempat awam, termasuk fasiliti sukan dan pembukaan premis-premis perniagaan seperti restoran, kafe, medan selera, panggung wayang, arked, taman permainan tertutup, salon kecantikan dan kedai gunting, pasar dan tamu semasa fasa peralihan adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan vaksinasi, dan dihadkan kepada 50 peratus kapasiti tempat atau tidak lebih 200 orang yang mana lebih rendah, had itu juga dikenakan kepada tempat-tempat ibadat bagi agama lain.

Sentiasa bersiap sedia

Usaha-usaha dan langkah telah dirancang dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan orang ramai sentiasa terjamin menjelang fasa peralihan yang mana lebih banyak sekatan dilonggarkan dan perniagaan-perniagaan serta perkhidmatan yang sebelum ini terpaksa ditutup akibat penularan COVID-19 di seluruh negara kini dibenarkan dibuka semula.

Sebagai tanggungjawab bersama, setiap premis perniagaan diseru untuk memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa. Mana-mana pemilik premis perniagaan yang didapati tidak mematuhi garis panduan pembukaan semula premis dan syarat-syarat yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 dan premis tersebut boleh diarahkan untuk tutup dengan serta-merta.

Manakala bagi pejabat perniagaan swasta dan syarikat pembuatan dan pemprosesan adalah dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang mana pekerja dan pelanggan yang mengimbas kod QR dan mereka yang mempunyai kod warna hijau dan kuning saja dibenarkan masuk.

Selain pemilik, pekerja dan pelanggan mesti juga telah melengkapi dua dos vaksin manakala pekerja yang belum divaksinasi atau belum melengkapkan dua dos vaksin, pekerja berkenaan hendaklah membuat ujian ART pada setiap hari bekerja.

Di samping itu, pihak majikan adalah dinasihatkan untuk membuat ujian ART secara berkala ke atas pekerja-pekerja. Untuk makluman, individu yang belum divaksinasi termasuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan individu yang belum melengkapkan dua dos vaksin tidak dibenarkan masuk ke premis. Selain itu, pemilik premis juga hendaklah mempamerkan notis jumlah maksimum pelanggan dan jumlah 50 peratus kapasiti serta status vaksinasi pekerja.

Selain hidangan berbentuk bufet yang disajikan sama ada di restoran-restoran mahupun di acara-acara yang diadakan, sajian makanan berbentuk dome set atau sajian makanan yang dikongsi bersama di sesebuah meja makan juga tidak dibenarkan semasa tempoh fasa peralihan nanti. Bagi acara-acara yang diadakan di rumah-rumah persendirian, sajian makanan yang hanya dibenarkan untuk dihidangkan semasa fasa peralihan adalah hidangan makanan yang dibungkus.

Oleh yang demikian, amalan menggenggam segala SOP perlu menjadi budaya kita dalam meniti norma baharu demi sama-sama mencapai keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan bersama.