Sentiasa ikut had laju ditetapkan

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) ingin menasihatkan para pemandu yang menggunakan jambatan penghubung Daerah Brunei dan Muara ke Daerah Temburong untuk sentiasa mematuhi had kelajuan iaitu 80kmsj bagi kenderaan biasa dan 65kmsj bagi kenderaan komersial.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Pemangku Pengarah JSKLL, PPDB, Penguasa Kanan, Pengiran Haji Abdul Salam bin Pengiran Haji Abdul Ghani ketika ditemu bual pada kempen kesedaran keselamatan jalanraya dan operasi sekatan jalan raya di pusing keliling Kampung Labu, Daerah Temburong.

Beliau berkata, seperti yang dimaklumi jambatan penghubung mula dibukakan penggunaannya kepada umum pada bulan Mac 2020 walaupun terdapat beberapa kerja-kerja pemeliharaan masih dalam perlaksanaan.

“Untuk makluman orang ramai jambatan berkenaan dibukakan bermula pukul 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. Terdapat kategori kenderaan yang hanya dibenarkan untuk menggunakan jambatan ini, di mana kebenaran diberikan oleh pihak Jabatan Kerja Raya melalui Pejabat Pengurusan Jambatan.

Penggunaan basikal di atas jambatan ini adalah tidak dibenarkan.”

Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas semasa mengadakan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya bertempat di pusing keliling Kampung Labu, Daerah Temburong.
Penguasa Kanan Pengiran Haji Abdul Salam menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi had kelajuan yang ditetapkan semasa menggunakan jambatan penghubung Daerah Brunei dan Muara ke Daerah Temburong.

Penguasa Kanan, Pengiran Haji Abdul Salam, juga memberitahu bahawa PPDB akan sentiasa memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya dan akan memastikan aspek-aspek keselamatan bagi keselesaan pengguna.

Beliau juga menasihatkan para pemandu supaya sentiasa memandu dengan kelajuan yang telah ditetapkan terutama ketika berada atas jambatan dan mematuhi peraturan jalan raya.

Beliau juga turut menasihatkan para pengguna agar lebih berhati-hati ketika memandu semasa cuaca hujan bagi mengelakan perkara yang tidak diingini berlaku.

Memandu dengan menggunakan telefon bimbit adalah sangat ditegah kerana ia boleh menganggu tumpuan ketika memandu dan pemandu tidak peka sepenuhnya dengan apa yang berlaku di sekelilingnya, tambah beliau.

Para pengguna turut dinasihatkan supaya tidak melanggar peraturan yang telah ditetapkan dan CCTV yang terdapat di sepanjang jambatan boleh merakam aktiviti yang dilakukan oleh para penggunanya.