Sentiasa ingat Allah

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingatkan supaya banyak-banyak berzikir dan mengingati Allah kerana dunia sedang tenat dengan kemelut dan perkelahian di sana sini.

Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1439H yang disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) malam ini, Baginda bertitah, keamanan sudah tidak lagi terjamin malah diganti dengan huru-hara dan pembunuhan-pembunuhan kejam.

“Ini semua, tidak terkecuali, turut berlaku dalam kalangan orang-orang Islam sendiri. Perkara ini berlaku, kerana mungkin, kita sudah atau semakin jauh

daripada Allah, yang mana orang sudah amat sedikit mengingat Allah, berbanding mengingat yang lain-lain dan kerana itulah musuh mudah masuk,” titah Baginda.

Selain musuh syaitan, juga tidak terkecuali ialah musuh daripada kalangan manusia.

Baginda dalam titah menekankan, usaha yang paling dharuri untuk mengubat penyakit ini ialah segera untuk mendekati Allah, menyebut dan mengingatiNya banyak-banyak, serta memohonkan petunjuk dan perlindunganNya.

Terdahulu, Baginda Sultan memulakan titah dengan mengajak rakyat untuk sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah atas limpah rahmatNya mengurniakan nikmat Islam dan iman, sehingga menjadi para hamba yang beruntung dapat menunaikan segala perintahNya termasuk perintah berpuasa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1439H. – Gambar oleh Infofoto

“Ibadat puasa adalah satu daripada rukun Islam yang lima, di mana kita yang melakukannya adalah selaku hamba yang mematuhi tuntutan Islam itu.

“Oleh itu, wajarlah kita bersyukur kerana telah ditakdirkan menjadi orang Islam,” titah Baginda. Selepas ibadat puasa, titah Baginda, Allah mensyariatkan pula Hari Raya Fitrah sebagai hari untuk bersuka ria, setelah sebulan menahan diri daripada perkara-perkara yang ditegah semasa berpuasa.

Hari Raya Fitrah sangat unik dan tersendiri sifatnya dan ia bukan semata-mata untuk bersuka ria seperti bersuka ria biasa, tetapi turut dituntut ialah untuk menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak.

“Inilah inti pati kita merayakan Hari Raya Fitrah itu. Bukankah kemuncaknya, kita bergerak ke masjid untuk menunaikan sembahyang Sunat Aidilfitri?”

Titah Baginda lagi, di masjid sebelum sembahyang, umat Islam beramai-ramai bertakbir, bertahlil, bertahmid dan bertasbih mengagungkan Allah.

“Inilah keraian yang unik itu. Impaknya tidak kosong, tetapi sarat dengan janji pahala daripada Allah,” titah Baginda.

Mengakhiri titah, Baginda dan kerabat Baginda dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di mana saja mereka berada.

Di samping itu, Baginda juga berdoa semoga semua dikurniakan kesihatan dan peluang untuk merayakan hari yang berbahagia ini.