Sentiasa mempelawa penyertaan belia

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MoHA) ingin merujuk kepada surat pembaca yang bertajuk ‘Make it mandatory for MPKs to have youth members’ oleh Abdul Malik Omar, disiarkan dalam ruangan Opinion, Borneo Bulletin pada 21 September lalu.

Pihak kementerian berterima kasih kepada penulis kerana berkongsi saranan mengenai penyertaan belia di dalam Majlis Perundingan Kampung dan Mukim.

Pihak kementerian melalui Pejabat Daerah telah mengeluarkan polisi baharu pada bulan Januari 2019 bagi pelantikan anggota majlis konsultasi mukim dan kampung bagi sesi baharu yang merangkumi tiga hingga lima orang ahli baharu dari kumpulan belia yang berumur antara 18 hingga 45 tahun untuk dilantik menjadi Ketua Biro/ Timbalan Ketua Biro Mukim dan Majlis Konsultasi Kampung.

Penyertaan belia dalam jawatankuasa boleh membantu menguatkan lagi peranan majlis perundingan mukim dan kampung, memupuk perubahan sosial yang positif dan meningkatkan aktiviti ekonomi di peringkat akar umbi.

Kementerian dan Pejabat Daerah mengalu-alukan penyertaan aktif daripada belia kampung dalam melaksanakan program kebajikan dan kegiatan ekonomi di peringkat mukim serta kampung bagi memperkuatkan lagi hubungan masyarakat dan kesejahteraan sekali gus memupuk kepimpinan pemimpin di masa hadapan. – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Brunei Darussalam.