Wednesday, February 12, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Sentiasa pamer etika kerja baik’

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang utama di negara ini, pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diseru untuk sentiasa menunjukkan etika kerja yang baik, berdisiplin, berintegriti dan profesional dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanatkan.

    Tindakan yang berlandaskan kejujuran, ketelusan dan tanggungjawab akan memastikan kepercayaan masyarakat negara ini terhadap pasukan polis terus utuh.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah sedemikian semasa Upacara Istiadat Perbarisan bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di Padang Kawad Besar, Pusat Latihan Polis (PLP), Gadong, kelmarin.

    Titah Baginda lagi, disiplin yang kukuh bukan sahaja membentuk keperibadian pegawai dan anggota pasukan yang cemerlang, tetapi juga menjadi benteng pertahanan kepada cabaran moral dan etika.

    Penganugerahan berkenaan adalah pengiktirafan Baginda kepada seluruh pegawai dan anggota PPDB atas khidmat jasa bakti, penat lelah, komitmen serta dedikasi yang telah ditunjukkan dalam memikul dan melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang yang utama di negara ini.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Upacara Istiadat Perbarisan bagi Majlis Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-panji Peribadi kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Pada sambutan Hari Polis yang ke-86 tahun, Baginda telah menganugerahkan penukaran kepala atau tampuk panji-panji pasukan polis.

    Penganugerahan tersebut, titah Baginda, telah meletakkan pasukan polis di satu kedudukan yang berprestij sebagai sebuah organisasi yang memainkan peranan penting dalam menjaga dan memelihara kedaulatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat di negara ini daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan.

    Di samping itu, penganugerahan panji-panji peribadi Baginda juga mempunyai signifikannya tersendiri, ianya bukan sekadar lambang atau hiasan semata-mata, tetapi membawa makna yang amat mendalam yang mencerminkan betapa tinggi amanat dan kepercayaan terhadap pasukan polis.

    Dengan pengibaran bendera panji-panji peribadi di setiap upacara perbarisan, tegas Baginda, ia akan melambangkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi pasukan polis kepada raja, negara dan agama.

    Baginda seterusnya menekankan, setiap pegawai dan anggota pasukan polis bertanggungjawab untuk menanai dan mempertahankan nilai panji-panji yang melambangkan keberanian, disiplin dan juga kecekapan dalam memikul tugas dan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

    Bersempena penubuhan PPDB yang ke-100 tahun, Baginda telah memperkenankan pelancaran Buku Pelan Strategik PPDB dengan tema Pasukan Untuk Masa Depan pada 28 Oktober lalu.

    Bertitah mengenai buku pelan strategik tersebut, ianya menjelaskan strategik teras pasukan yang tertumpu kepada lima aspek penting iaitu struktur, prestasi, pengurusan sumber, penggunaan teknologi, latihan dan kerjasama pasukan polis dan orang ramai.

    Buku tersebut, titah Baginda lagi, memberikan panduan secara holistik dalam menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan.

    Dengan penekanan kepada peningkatan keupayaan siasatan siber dan pengukuhan hubungan dengan masyarakat, PPDB berada di landasan yang kukuh untuk terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan, keamanan dan kesejahteraan negara.

    Baginda bertitah berharap buku tersebut akan dijadikan sebagai satu manifesto untuk PPDB terus berkembang maju dengan lebih terarah.

    “Ianya meliputi semua aspek termasuk kepimpinan, meningkatkan profesionalisme, memantapkan urus tadbir pasukan dan terus membina keupayaan pasukan bersama rakan-rakan strategik di dalam dan di luar negara dalam membanteras sebarang bentuk kegiatan jenayah yang boleh mengancam keselamatan negara,” tegas Baginda.

    Selain itu, Baginda juga ingin melihat competency framework yang diperkenankan Baginda digunakan bagi semua pe-ringkat pasukan polis untuk mendapatkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang kepolisian.

    Competency framework itu akan dapat membantu dalam menyusun atur dan melancarkan succession planning serta penstrukturan semula pasukan polis sebagai sebuah organisasi.

    Pada tahun ini, titah Baginda lagi, genap-lah usia PPDB menjangkau 104 tahun, dan Baginda ingin melihat pasukan itu menunjukkan kematangan dari segi pelaksanaan amanah dan tugas di samping bermuhasabah diri dan bertekad untuk terus meningkatkan profesionalisme dalam pasukan polis.

    Pada akhir titah, Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota PPDB yang telah menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam menjayakan Upacara Istiadat Penganugerahan Panji-panji Peribadi Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda