Sentiasa pantau keberadaan anak

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Orang ramai diingatkan untuk sentiasa mengawal keberadaan anak masing-masing semasa berada di pusat pengasingan terutama di tempat yang baharu.

Perkara tersebut diingatkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, petang tadi.

Mengenai kanak-kanak yang jatuh di Pusat Pengasingan Mumong dan tular di media sosial, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengesahkan kejadian tersebut yang berlaku malam tadi.

“Keadaan anak damit berkenaan pada masa ini dalam keadaan yang baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan pada bahagian otak dan tidak mengalami kecederaan serius tetapi anak damit tersebut masih dipantau di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) hari ini,” tambahnya.

Sehubungan itu, sekali lagi diingatkan kepada yang bertugas dan orang ramai di pusat pengasingan untuk memastikan keselamatan anak masing-masing.