Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Sentiasa pelihara identiti keBruneian

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Infofoto

    LONDON, UNITED KINGDOM, 19 DIS – Para pelajar mestilah terus peka memelihara identiti keBruneian di mana saja berada, dan sentiasa mengingati bahawa kita tetap orang Brunei dengan bercalakkan Melayu Islam Beraja (MIB).

    Selain itu, program bimbingan Al-Quran dan agama yang dilaksanakan perlu diberi penekanan agar para pelajar yang menuntut di luar negara tetap berhias dengan iman dan sifat takwa. Ini sekali gus sebagai kewajipan melengkapi diri masing-masing dengan nilai-nilai seimbang, duniawi dan ukhrawi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom (UK) dan Eire, hari ini.

    Berangkat sama ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung bergambar ramai semasa Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di UK dan Eire.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di UK dan Eire, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah ber-kenan bergambar ramai semasa majlis tersebut.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha berkenan menerima pesambah.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat ke Majlis Santap Minum Petang bersama perwakilan penuntut.

    Baginda Sultan berkenan dijunjung bergambar ramai.
    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan menandatangani lembaran kenangan.

    ATAS & BAWAH: Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan bercemar duli bersama rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di UK dan Eire.

    Persembahan nasyid dan gulingtangan yang menyerikan majlis berkenaan.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menyatakan bahawa pendidikan merupakan kunci utama untuk memacu pembangunan negara yang menentukan sumber manusia menjadi nadi penggerak kepada kemajuan.

    Ke arah ini, kerajaan Baginda akan terus menyediakan peluang bagi para pelajar untuk mengikuti pengajian melalui pelbagai skim biasiswa.

    Baginda kemudian bertitah menyifatkan majlis bersama rakyat berkenaan sangat bermakna kerana ia mencerminkan perpaduan erat yang dibina dalam kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terutamanya setelah dunia bergelut dengan pandemik COVID.

    Selain itu, Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersua muka dan mengetahui secara dekat perkembangan, kemaslahatan dan kesejahteraan semua, khasnya para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di UK dan Eire.

    Menyentuh mengenai pandemik koronavirus, Baginda turut mengambil maklum keadaan para pelajar yang dijangkiti virus berkenaan adalah pada tahap ringan dan telah sembuh dalam tempoh yang singkat. Walaupun telah menerima vaksinasi sepenuhnya, para pelajar dinasihatkan untuk terus berjaga-jaga dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan.

    Baginda juga bertitah menyuarakan keyakinan bahawa para pelajar akan terus cekal, tabah, gigih dan berdaya tahan dalam menempuh cabaran COVID yang sedikit sebanyak telah memberikan kesan ke atas pembelajaran dan proses penyelidikan para pelajar.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke UK dan Eire, Tuan Yang Terutama Laksamana Pertama (B) Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad dan Pengiran Datin Noralam binti Pengiran Kahar.

    Turut menjunjung ialah Yang Di-Pertua Persatuan Penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam di UK dan Eire (BSU), Awangku Izz Khan Fayyadh bin Pengiran Haji Mohd Hasreen dan Naib Yang Di-Pertua BSU, Dayang Nur Hazirah binti Mohammad Moshtari.

    Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri kemudian dijunjung berangkat bagi Majlis Santap Minum Petang bersama perwakilan penuntut sebelum dijunjung bagi menghadiri majlis bersama rakyat.

    Majlis dimulakan dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang disampaikan oleh Awang Mohammad Aqiel Hidayat @ Mohamad Azhar bin Haji Zulfa Hidayat dari Coventry University.

    Manakala itu, inti sarinya dibacakan oleh Awang Muhammad Al Danish bin Muhammad Al Qusyairi dari University of the Highlands and Islands, Scotland.

    Doa Selamat kemudiannya dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Yang Di-Pertua BSU dalam sembah alu-aluannya menghuraikan tema majlis tersebut iaitu Raja Inspirasi Generasi Berakhlak, yang memperingatkan generasi masa kini mengenai ketokohan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam kewibawaannya menerajui negara.

    Di samping perwatakan, ciri-ciri dan keperibadian Baginda amat disanjung sebagai inspirasi bagi mendorong setiap rakyat termasuk generasi belia dan pelajar untuk berusaha menjadi individu cemerlang dan memiliki nilai-nilai murni dan akhlak terpuji menurut calak MIB.

    Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana membimbing rakyat Negara Brunei Darussalam ke jalan keimanan.

    Baginda sering menekankan kepentingan akhlak mulia bagi generasi muda serta menerapkan nilai-nilai murni dalam setiap aspek kehidupan supaya lebih fokus serta menjadi pemangkin kejayaan pengajian mereka, termasuk membentuk insan seimbang dalam menguasai ilmu duniawi dan akhirat.

    Yang Di-Pertua BSU seterusnya menzahirkan penghargaan kepada Baginda atas peluang, kemudahan, sokongan dan bantuan yang dihulurkan kepada penuntut-penuntut yang mengikuti pengajian di UK dan Eire.

    Ini termasuk kemudahan penginapan di Brunei Hall serta kebajikan dan kesejahteraan yang dititikberatkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Baginda seterusnya berkenan berangkat bercemar duli bersama kira-kira 1,300 orang rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di UK dan Eire, terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang sedang dalam percutian.

    Majlis yang juga diserikan dengan persembahan nasyid bertajuk Hayyul Hadi dan gulingtangan yang antara lain memberikan peluang keemasan kepada rakyat dan penduduk khasnya yang berada di UK dan Eire, untuk berjunjung ziarah dan beramah mesra kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...