Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sentiasa qanaah dalam hidup

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Antara sifat dan akhlak Baginda Rasulullah SAW yang patut kita contohi dan diikuti itu ialah sifat pemurah, sederhana dan sifat qanaah.

    “Qanaah menurut bahasa adalah berasa cukup dan menurut istilah pula bermaksud berasa cukup dengan semua nikmat kurniaan Allah SWT sama ada banyak atau pun sedikit,” jelas khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Mentarbiah Diri dengan Sifat Qanaah’.

    Oleh itu, kata khatib, Rasulullah SAW merupakan ‘Uswatun Hasanah’ iaitu contoh teladan yang terbaik bagi seluruh umat manusia untuk diikuti dalam semua aspek kehidupan sama ada dari sudut ketaatan, keimanan, pergaulan, akhlak dan seumpamanya.

    Tambah khatib lagi, Rasulullah SAW dalam hadis menganjurkan umatnya untuk sentiasa bersifat qanaah dalam kehidupan.

    Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, bahawa ‘Daripada Abdullah bin Amru RA, Rasulullah SAW bersabda yang antaranya bermaksud, Sesungguhnya amat beruntunglah seseorang yang beragama Islam dan diberikan rezeki yang cukup serta qanaah terhadap apa yang dikurniakan Allah kepadanya’.

    “Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, daripada Abdullah bin Mas’ud RA pernah menceritakan pada suatu ketika beliau datang bertemu Nabi Muhammad SAW. Ketika itu, Baginda sedang berbaring di atas tikar dan kelihatan di belakang badan Baginda terdapat kesan anyaman tikar tersebut.”

    “Lantas Abdullah bin Mas’ud RA mengusap-usap kesan tersebut sambil bertanya kepada Baginda. Adakah tuan izinkan kami meletakkan sesuatu sebagai alas di atas tikarmu? Baginda menjawab: Apalah yang ingin aku kejarkan dengan dunia ini, sesungguhnya perumpamaan diriku dengan dunia adalah seumpama seorang penunggang yang (berhenti) berehat (sebentar) di bawah sebatang pokok ketika hari yang panas kemudian dia berangkat (pergi) dari pokok tersebut,” kongsi khatib lanjut bagi membuktikan bahawa Baginda Rasulullah SAW seorang insan yang suka hidup dalam keadaan sederhana dan tidak memiliki sifat bermegah-megah.

    Khatib menjelaskan, adapun antara tanda-tanda seseorang itu mempunyai sifat qanaah dalam diri mereka adalah sentiasa bersyukur kepada Allah SWT; harta yang ada sentiasa diinfaqkan ke jalan Allah SWT; tidak cemas dalam menghadapi sebarang masalah; hidup bersederhana; dan tidak putus asa serta sentiasa berikhtiar dan berusaha dalam menghadapi sebarang ujian dan dugaan dalam kehidupan.

    “Terdapat banyak manfaat yang kita perolehi dengan bersifat qanaah itu antaranya adalah memperkuat iman; memperoleh ketenangan hidup di dunia dan akhirat; menjaga diri daripada perbuatan dosa; membendung diri daripada bersifat tamak, cemburu dan iri hati terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain dan berasa lapang dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT kepadanya; dan memperolehi kekayaan yang hakiki,” ujarnya.

    Perkara ini dihuraikan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari, ‘Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud kekayaan yang hakiki bukanlah dengan banyaknya harta. Namun kekayaan yang hakiki ialah kekayaan jiwa iaitu hati yang selalu berasa cukup’.

    Dalam pada itu, khatib turut menyatakan, Rasulullah SAW sendiri dalam hadis Baginda ada mengajarkan doa yang ringkas, jelas dan mendalam iaitu bagi memohon ketakwaan dan sentiasa bersifat qanaah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, ‘Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Baginda berdoa: Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu petunjuk, ketakwaan, terhindar daripada perbuatan yang tidak baik dan kecukupan (tidak meminta-minta)’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda