Sentiasa siap siaga hadapi Fasa Peralihan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Walaupun di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC) kini hanya terdapat lima pesakit yang mendapatkan rawatan namun Kementerian Kesihatan tetap sentiasa bersedia secara menyeluruh untuk menangani apa sahaja yang bakal dihadapi lebih-lebih lagi ketika negara meniti Fasa Peralihan dan menuju Fasa Endemik.

“Memang kesiapsiagaan itu sentiasa ditanai sejak dahulu lagi. Apa yang terpenting juga kesediaan untuk menggerakkan pekerja jika diperlukan apabila klinik-klinik atau perkhidmatan tertentu beroperasi seperti biasa,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai tahap kesediaan pihak Kementerian Kesihatan dalam menangani peningkatan kes semasa Fasa Peralihan dan Endemik mahupun kapasiti ICU di NIC nanti.

Menurutnya, jika peningkatan kes terjadi semasa Fasa Endemik nanti, pastinya ia satu cabaran tetapi pihak kementerian ketika ini sedang giat melaksanakan pelbagai perancangan dari segi mobiliti pekerja bagi membolehkan pengurusan berjalan lancar di pusat pengasingan kebangsaan dan juga tempat-tempat kuarantin kerajaan bagi para pesakit yang tidak dapat tinggal di kediaman mereka dan memerlukan pengasingan.

“Dari segi ICU, pihak kementerian sudah menyediakan apa sahaja keperluan dan ketika ini berlaku penambahbaikan dari semasa ke semasa,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.

Pusat Pengasingan Kebangsaan akan sentiasa disiapsiagakan semasa Fasa Peralihan dan Endemik nanti. – Gambar oleh Muiz Matdani